Parlimen Gantung,Rakyat Hanya Boleh Pilih Mengemukakan Masalah Kepada Yang di-Pertuan Agong

Parlimen Gantung,Rakyat Hanya Boleh Pilih Mengemukakan Masalah Kepada Yang di-Pertuan Agong

Semenjak Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan dan melaksanakan pelbagai langkah pencegahan penyebaran wabak Covid ini, saya telah menerima aduan tanpa henti dan rayuan meminta bantuan dari rakyat dalam Wangsa Maju.

Sama seperti kebanyakkan Ahli Parlimen yang lama berkhidmat dan terlibat baik secara langsung atau tidak langsung dalam pembangunan negara selama 25 tahun yang lalu, saya amat memandang serius dengan keadaan negara sekarang.

Sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menyuarakan masalah, rungutan dan kegelisahan anak buah saya di Parlimen. Namun penggantungan Parlimen telah menafikan saya untuk berbuat demikian. Oleh itu, rakyat tidak ada pilihan selain mengemukakan perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Utama Negara.

Satu ratus lima puluh orang dari pelbagai lapisan masyarakat dan memegang pelbagai jawatan dalam komuniti dan organisasi masing-masing telah tampil untuk menyerahkan surat rayuan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong. Mereka termasuk ketua ketua kampung, bekas veteran tentera, penjaja dan peniaga kecil, profesional, guru, bekas kakitangan kerajaan, wakil surau dan rumah ibadat, wakil KRT dan persatuan penduduk dan Majlis Perwakilan Masyarakat.

Antara isu yang dibangkitkan adalah kesulitan kewangan dihadapi penduduk Wangsa Maju, kerisauan mereka terhadap ketidakstabilan dan kegagalan berfungsi Kerajaan Perikatan Nasional serta hilang keyakinan terhadap kemampuan Kerajaan Perikatan Nasional untuk membendung pandemik dan memulihkan ekonomi.

Untuk menangani situasi krisis masa kini, kita memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil, Kabinet yang cekap dan berkesan serta seorang Perdana Menteri yang berkebolehan dan mendapat sokongan majoriti Parlimen untuk memimpin negara mengharungi masa yang mencabar ini. Kami berpendapat kerajaan Perikatan Nasional amat lemah dan tidak stabil, Kabinet telah gagal berfungsi dan kami yakin bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti Parlimen.

Oleh itu, kami memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan kebijaksanaan dan kuasa Perlembagaan untuk membantu rakyat dan negara dengan melantik seorang Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan mampu membentuk pemerintahan yang stabil dan berkesan sehingga sebuah kerajaan baru dipilih.

Kami juga memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memendekkan masa Darurat yang tidak membantu membendung Pandemik, tetapi sebaliknya telah menghambat pemulihan ekonomi negara, melemahkan peranan dan fungsi Parlimen, dan mencemarkan imej negara.

Terima Kasih

DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW
22 FEBRUARI 2021


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *