Carian
July 15, 2021

Parlimen Perlu Diberi Peranan Utama Dalam Pelan Pemulihan Negara

Wakil KEADILAN hari ini telah menghadiri satu taklimat oleh Menteri Kewangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara. Pada masa yang sama, kami telah berpeluang menyampaikan pandangan Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN berkenaan pelan tersebut, di mana pelan tersebut perlu berteraskan prinsip-prinsip berikut:

• Dasar dan langkah Kerajaan mesti berasaskan sains perubatan dan data;
• Kerajaan mesti adil kepada semua pihak; dan
• Kerajaan wajib telus dan bertanggungjawab dalam perbelanjaan sewaktu pandemik ini.

Kami turut membentangkan beberapa perkara termasuk perlunya meningkatkan bantuan kepada hospital dan sistem kesihatan awam sedia ada, menggembleng tenaga dan kerjasama semua pihak dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), menerbitkan data yang lebih terperinci, menyelamatkan pekerja dan pekerjaan, menambah bantuan untuk rakyat segera, dan memastikan Parlimen memainkan peranan utama dalam usaha memulihkan negara.

Oleh itu, KEADILAN mengambil pendirian tegas bahawa Pelan Pemulihan Negara ini mesti dibentang, dibahas dan diputuskan Ahli-Ahli Parlimen dalam sidang khas Parlimen yang bermula 26 Julai akan datang. KEADILAN juga berpandangan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu diwujudkan bagi memantau dan menyemak imbang pelaksanaan pelan tersebut.

YB DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

YB Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai

YB Wong Chen
Ahli Parlimen Subang

Related Posts
crossmenuchevron-up