Carian
November 28, 2021

Pelantikan Penasihat Agama PM Satu Pembaziran Wang Rakyat

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum perlantikan Mej.Jen. Dato' Seri Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada pandangan AMK perlantikan ini tidak ada keperluan melainkan hanya satu lagi pembaziran dari kerajaan Barisan Nasional hari ini.

Pada hemat AMK Perdana Menteri sepatutnya fokus kepada masalah kenaikan harga barang keperluan asas yang membebankan rakyat ketika rakyat cuba bangkit selepas krisis pandemik dan krisis ekonomi yang melanda negara sejak 20 bulan lalu.

Sejak Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri isu kenaikan harga barang semakin meruncing dan ianya menjadi semakin teruk selepas Pilihanraya Negeri Melaka yang mana terdapat banyak laporan kenaikan harga bahan mentah dan keperluan asas.

Perkara ini ternyata membebankan rakyat dan kegagalan dalam mengawal kenaikan harga barang selain alasan-alasan dangkal punca kenaikan membuktikan kerajaan Barisan Nasional tidak peduli akan 'keluarga Malaysia' yang terbeban.

Adakah perlantikan pemimpin UMNO selaku Penasihat Agama sebagai bukti bahawa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) YB Idris Ahmad dari PAS tidak berfungsi sebagai Menteri? Atau adakah ini isyarat bahawa UMNO akan mengenepikan PAS dan hanya mempergunakan PAS bagi mencukupkan sokongan terhadap Ismail Sabri?

AMK juga melihat Penasihat Agama yang baru dilantik sebagai bukti kegagalan Duta Khas Ke Timur Tengah dalam menjalankan tanggungjawab sepanjang menjawat jawatan berkenaan sejak 2 April 2020.

Selain sebagai 'habuan' kepada pemimpin UMNO, perlantikan ini juga manifestasi kepada usaha UMNO memperkukuhkan kedudukan dan mengenepikan PAS bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang.

Rakyat tidak akan pernah lupa ketirisan yang berlaku ketika Jamil Khir menjawat Menteri Agama antaranya salahguna dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk membeli 'golf simulator', membazir wang rakyat menganjurkan kursus perkahwinan di Paris dan kegagalan beliau mengurus Tabung Haji.

Amat mendukacitakan demi kelangsungan hidup UMNO, Ismail Sabri memberi 'nyawa' kepada bekas Menteri yang gagal sebagai Penasihat.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up