PENAFIAN MUDAH TUAN IBRAHIM TIDAK MENJAWAB ISU SYARIKAT KRONI MEMBOLOT PROJEK INFRASTRUKTUR KERAJAAN

PENAFIAN MUDAH TUAN IBRAHIM TIDAK MENJAWAB ISU SYARIKAT KRONI MEMBOLOT PROJEK INFRASTRUKTUR KERAJAAN

Setakat ini, reaksi Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hanyalah membuat penafian mudah bahawa kementeriannya belum lagi menganugerahkan projek tebatan banjir Langat yang berjumlah RM2 bilion secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn. Bhd. 

Saya memang menyebut projek ini belum dianugerahkan. Tujuan saya membawa isu ini sekarang ialah kerana perbincangan dan proses itu sedang berjalan dan ada usaha untuk menganugerahkan projek itu dalam masa kerajaan caretaker yang melanggar undang-undang. 

Untuk memudahkan Tuan Ibrahim memberi jawapan yang lebih bertanggungjawab dan telus, saya boleh bantu beliau dengan menggariskan soalan-soalan pokok yang perlu beliau jawab: 

  1. Beliau bertanggungjawab melantik Mangkubumi menjadi kontraktor projek tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal pada jumlah RM578.6 juta di bawah program Jana Wibawa sedangkan Mangkubumi sudah pun mengendalikan beberapa projek besar di bawah kementerian beliau yang berjumlah berbilion ringgit.
    Saya sertakan Surat Setuju Terima (SST) yang ditandatangani sendiri oleh beliau untuk projek ini.
  2. Tuan Ibrahim tidak menafikan bahawa dokumen yang menyenaraikan dua projek besar melibatkan Mangkubumi (projek tebatan banjir Krubong berjumlah RM578.6 juta dan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 berjumlah RM2 bilion) adalah dokumen kerajaan yang ada dalam rekod kementerian beliau sendiri.
  3. Tuan Ibrahim tidak menjelaskan bahawa senarai dua projek itu serta catatannya (yang menyatakan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 diuruskan secara rundingan terus) adalah cabutan dari dokumen rasmi kerajaan yang melibatkan kementerian beliau.

Kegagalan Tuan Ibrahim mengulas mengenai tiga perkara ini mengesahkan perkara-perkara berikut: 

  • Bahawa proses dalaman kementerian beliau dan Kementerian Kewangan memang menyenarai pendek Mangkubumi (setakat ini) sebagai kontraktor projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang berjumlah RM2 bilion
  • Bahawa proses dalaman kementerian beliau dan Kementerian Kewangan memang mengesyorkan agar Mangkubumi dilantik secara rundingan terus tanpa tender terbuka

Saya persoalkan perkara ini kerana adalah satu kerugian besar kepada rakyat apabila projek- projek besar di bawah kementerian beliau terus diberikan kepada sebuah syarikat yang jelas ada kaitan yang rapat dengan pimpinan UMNO dan pernah menjadi kes mahkamah kerana terbabit dengan kes penggubahan wang haram sebanyak RM139 juta yang dipindahkan kepada Azeez Rahim, seorang pemimpin UMNO yang mempunyai rekod penyelewengan yang buruk. 

Jika pun Mangkubumi tidak terpalit dengan kes-kes jenayah komersial sebelum ini, syarikat itu telah pun mendapat jumlah projek yang begitu tinggi dari kementerian yang dikepalai Tuan Ibrahim, iaitu: 

  • Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak-Pakej 1 : Network (Reka & Bina) (No. Kontrak : KeTTHA/JPP/PAPAN 1/RMK10/15/K11) berjumlah RM828 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan9/
  • Pakej D47-Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan Di Kawasan Petaling Jaya (Utara), (Reka & Bina) (No Kontrak: KeTTHA/JPP/D47/GKL/NR/13/K6) berjumlah RM277 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/kerja-kerja- penyambungan-1/
  • Melalui satu lagi syarikat yang dikawal oleh pemilik Mangkubumi, iaitu Pintas Utama Sdn Bhd, Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak – Pakej 3: Other Network (Reka & Bina) berjumlah RM780 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan10/

Maknanya, dalam tempoh enam tahun, KASA telah menganugerahkan projek bernilai lebih RM2.3 bilion kepada satu orang sahaja melalui syarikat-syarikat yang dikawal Zainuddin Karjan. 

Lebih teruk lagi, Mangkubumi juga telah menerima teguran secara rasmi dari Ketua Audit Negara atas prestasi kerjanya. 

Laporan Ketua Audit Negara 2016 mengkritik prestasi kerja Mangkubumi dalam satu projek di bawah JKR di muka surat 22 ke 23 (yang diterangkan dengan lebih terperinci di muka surat 112 hingga 128) yang melibatkan kelewatan projek yang dianugerahkan. 

Secara logiknya, dengan semua maklumat ini, sewajarnya sebuah syarikat seperti Mangkubumi tidak lagi dilantik untuk projek-projek besar kerajaan (kalau pun tidak disenaraihitam). 

Sekiranya Tuan Ibrahim menjalankan tugas dengan lebih berhati-hati, syarikat-syarikat kroni yang bermasalah seperti ini tidak patut pun dipertimbangkan sehinggalah semua projek sedia ada disiapkan dengan baik. 

Sebab itu, apabila proses dalaman KASA dan Kementerian Kewangan telah sampai ke peringkat mempertimbang untuk melantik Mangkubumi secara rundingan terus untuk satu projek bernilai RM2 bilion, ia menunjukkan kegagalan Tuan Ibrahim sebagai menteri untuk mengawal selia perbelanjaan di bawah kementeriannya. 

Ini tidak mengejutkan kerana rekod beliau dan PAS dalam hal ehwal kewangan dan pentadbiran begitu buruk. 

Semasa skandal 1MDB memuncak, beliaulah yang telah menyucikan skandal 1MDB dengan mengumumkan beliau berpuas hati dengan penjelasan CEO 1MDB ketika itu. 

Saya berharap calon Menteri Besar Pahang dari PN ini memahami bahawa tanggungjawab menjadi seorang menteri dalam menjaga wang rakyat adalah lebih besar, bukannya dengan hanya melepas tangan dan menuding jari kepada kakitangan kerajaan (dengan memberi alasan semua proses dalaman telah dipatuhi) apabila kontroversi begini berlaku. 

RAFIZI RAMLI 


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *