Carian
October 14, 2021

Pengecualian Bayaran Faedah Moratorium Satu Kemenangan Untuk Rakyat

Majlis Presiden mengalu-alukan persetujuan Perdana Menteri kepada tuntutan Pakatan Harapan bahawa bayaran faedah bagi moratorium pinjaman bank kepada kumpulan lima puluh peratus terbawah (B50) daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk tempoh tiga bulan akan dikecualikan sepertimana yang terkandung di dalam Perkara 1.7 Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Pakatan Harapan dan Kerajaan.

Walau bagaimanapun, kami kesal Perdana Menteri tidak mengiktiraf bahawa dasar ini adalah salah satu perkara yang terkandung di dalam MOU yang ditandatangani oleh beliau sendiri bersama pimpinan utama Pakatan Harapan pada 13 September lalu.

Malah pengecualian ini digambarkan sebagai idea Kerajaan, walhal ia adalah pendirian konsisten Pakatan Harapan yang dilaksana dalam semangat menunaikan Perkara-Perkara yang terkandung di dalam MOU.

Tanpa pengiktirafan peranan MOU ini, ia mampu menjejaskan keyakinan kami terhadap keikhlasan pihak Kerajaan untuk berpegang kepada semangat MOU ini, dan turut bercanggah dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang berasaskan fakta dan data agar segala perancangan dapat diusahakan bersama dengan perpaduan rakyat.

Penting dijelaskan bahawa pada awalnya pihak Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan untuk memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam dari kelompok B50 ini.

Untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, pimpinan utama Pakatan Harapan telah mengadakan siri pertemuan bukan sahaja bersama Menteri Kewangan malah juga dengan Ketua- ketua Pegawai Eksekutif bank-bank komersil.

Walaupun pada mulanya terdapat kebimbangan di pihak bank-bank, namun setelah siri libat urus ini berjalan dan pandangan pimpinan Pakatan Harapan disampaikan dengan jelas, Perdana Menteri telah bersetuju dengan pendirian kami dan akhirnya dasar ini dapat dilaksana.

Pelaksanaan Perkara 1.7 MOU ini merupakan satu kemenangan untuk rakyat.

Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan semak imbang serta tegas dalam membawa suara isi hati rakyat di dalam dan luar Parlimen demi menangani wabak COVID-19, mengatasi krisis ekonomi serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

 

Related Posts
crossmenuchevron-up