Carian
August 4, 2022

PENYELEWENGAN PROJEK LCS: SEKURANG-KURANGNYA RM890 JUTA DANA RAKYAT HANGUS

Saya mengalu-alukan tumpuan masyarakat kepada nasib perajurit negara yang secara langsung berkait dengan dana awam. Isu ini lebih kritikal berbanding skandal-skandal lain kerana ia melibatkan pelbagai dimensi (“multi dimensional”), seperti:

1. Penyelewengan dana rakyat untuk membina sistem pertahanan negara yang dianugerahkan terus kepada syarikat yang dikawal tabung amanah yang sepatutnya menjaga kebajikan perajurit

2. Apabila projek dan dana diselewengkan, bukan sahaja tabung amanah mengalami kerugian, sistem pertahanan negara terdedah kepada pelbagai risiko apabila kelengkapan dan persenjataan menjadi lapuk dan ketinggalan zaman

3. Mangsa seterusnya ialah perajurit yang terus dipinggirkan dan tidak terbela, sedangkan jika berbilion ringgit yang diselewengkan melalui perolehan projek-projek pertahanan ini tidak berlaku, wang itu boleh digunakan untuk memberi elaun dan pencen yang lebih baik kepada perajurit

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC), YB Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mengenai dapatan-dapatan PAC yang meneliti pengendalian projek Littoral Combat Ship (LCS) yang telah berlarutan sejak 2011.

Untuk makluman orang ramai, projek yang dianugerahkan secara terus dalam tahun 2011 telah menelan belanja RM6 bilion setakat 2022 tetapi satu kapal perang pun belum disiapkan. Mengikut jadual kontrak, sepatutnya lima kapal perang telah disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk beroperasi.

Sebenarnya saya telah mengumpul maklumat dan mengkaji skandal ini sejak beberapa bulan lalu atas kapasiti saya sebagai orang awam.

Berikut adalah maklumat penting yang perlu diketahui oleh orang awam:

i. Pada 16 Disember 2011, Kementerian Pertahanan mengeluarkan Surat Lantikan (“Letter of Award”atau LOA) kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina dan membekalkan enam “second generation patrol vessels”(SGPV) “littoral combat ship” (LCS) dengan jumlah kontrak RM9 bilion. Menteri Pertahanan pada ketika itu yang bertanggungjawab menguruskan projek ini ialah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden UMNO sekarang.

ii. Kerajaan Persekutuan menandatangani kontrak akhir dengan BNS bagi kontrak berjumlah RM9 bilion ini pada 17 Julai 2014. Menteri Pertahanan pada ketika itu, yang merundingkan perjanjian akhir ialah Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Kanan kerajaan gabungan PAS-UMNO-Bersatu sekarang.

Perdana Menteri pada ketika LOA dan kontrak projek ini diselesaikan tidak lain dan tidak bukan adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya telah mengumpulkan maklumat berkenaan penyelewengan demi penyelewengan yang berlaku sepanjang sedekad projek ini berjalan. Saya akan kembali mendedahkan satu persatu dalam siri expose sepanjang bulan Ogos ini seperti yang saya pernah lakukan semasa skandal NFC, 1MDB, Tabung Haji dan Felda dahulu.

Saya bermula pada hari ini dengan soalan yang mudah:

Siasatan yang dilakukan secara dalaman setakat ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya RM890 juta telah diselewengkan dari projek ini, baik dari segi penipuan, wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak, duplikasi kontrak dengan tuntutan berganda dan pelbagai penyelewengan ini.

Saya percaya siasatan dalaman ini telah sampai kepada Hishamuddin Hussein. Sebagai menteri yang menandatangani kontrak dalam tahun 2014, beliau juga menteri yang menandatangani perjanjian tambahan (“supplementary contract”) pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek ini.

Sebagai menteri pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini.
Kenapa sehingga sekarang beliau tidak mengambil tindakan untuk menangani penemuan penyelewengan berjumlah RM890 juta itu kerana tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak-pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut?

Skandal ini bakal memerangkap UMNO menjelang PRU15 kerana ia akan membuktikan bagaimana UMNO menuduh Pakatan Harapan menjual aset negara, sedangkan di bawah pentadbiran UMNO:

i. Persenjataan dan pertahanan negara terbengkalai sehingga ketinggalan berbanding jiran kita seperti Indonesia

ii. Nasib perajurit yang kebanyakannya Melayu diabaikan apabila dana yang sepatutnya memanfaatkan mereka hangus akibat penyelewengan

Saya akan terus mendedahkan maklumat terperinci penyelewengan ini satu persatu sehinggalah Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Najib Razak bersuara untuk menjawab.
Skandal kapal perang terbengkalai ini berlaku dibawah pengawasan dan pengurusan mereka, wajiblah mereka tampil menjelaskan kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI

Related Posts
crossmenuchevron-up