Carian
May 5, 2021

PKP: Persoalan Berbangkit Yang Perlu Dijawab Segera Oleh KPM

Berdasarkan pengumuman yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan semalam, beberapa buah daerah di Negeri Selangor telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan.

Beberapa pengumuman susulan telah dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa bagi memaklumkan tentang SOP yang akan dikuatkuasakan di kawasan PKP.

Namun sehingga hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum memaklumkan tentang kedudukan sekolah-sekolah dalam kawasan yang dikenakan PKP mulai 6 Mei 2021.

Adakah sekolah-sekolah di bawah kawasan PKP akan ditutup serta-merta atau ia akan diteruskan sehingga cuti Hari Raya bermula?

Pengumuman dengan kadar segera perlu dilakukan oleh pihak KPM memandangkan ada sekolah-sekolah yang sedang melangsungkan Peperiksaan Pertengahan Tahun.

Pengumuman awal daripada KPM akan memudahkan urusan pihak sekolah untuk menyusun semula jadual peperiksaan dan mengekalkan fokus para murid.

Selain itu, pengumuman awal ini akan membantu pihak ibubapa menyusun semula pengurusan keluarga mereka memandangkan jika sekolah ditutup pastinya ibu bapa perlu mencari siapa yang akan menjaga anak mereka.

Persoalan kedua ialah bagaimana proses pergerakan murid yang akan pulang ke rumah dari asrama masing-masing.

Kedudukan tutup atau buka sekolah ini menyebabkan proses pergerakan murid pulang ke rumah masing-masing juga kabur.

Adakah ibu bapa yang perlu mengambil anak mereka dari asrama akan diberikan pelepasan merentas daerah dan negeri sempena pelaksanaan PKP kali ini memandangkan PKP kali ini dikuatkuasakan di musim perayaan?

Jika pihak kerajaan membenarkan ibu bapa mengambil anak-anak mereka, pihak JK Pendidikan Pakatan Harapan mencadangkan supaya hanya pihak sekolah sahaja mengeluarkan surat makluman pengambilan anak di asrama sebagai bukti apabila merentas daerah dan negeri nanti.

Penggunaan surat makluman itu membolehkan ibu bapa tidak perlu hadir ke balai polis untuk mendapatkan kelulusan rentas daerah dan negeri memandangkan ia mengambil masa yang lama.

JK Pendidikan Pakatan Harapan menyeru supaya KPM lebih bersikap proaktif dalam memaklumkan tentang pelbagai isu yang berbangkit bagi memudahkan urusan sekolah, murid dan ibu bapa.

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)

Related Posts
crossmenuchevron-up