Carian
April 23, 2021

PR1MA Gagal Jawab Kos Majlis Berbuka Puasa: Apakah Yang Hendak Disembunyikan?

Saya ingin menyatakan rasa kecewa dan kesal terhadap kenyataan balas PR1MA bertarikh 22 April 2021 yang gagal menjawab pertanyaan saya mengenai jumlah kos penganjuran Majlis Berbuka Puasa PR1MA bersama Pengerusi, YB Dato’ Seri Shahidan Kassim (DSSK).

Majlis yang diadakan secara besar-besaran itu dikatakan turut melibatkan jemputan orang-orang politik termasuk Ketua Dewan Ulama PAS dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Boleh rujuk https://www.facebook.com/100044559723962/posts/305293907632598/?d=n
Keengganan menjawab hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai akauntabiliti dan ketelusan perbelanjaan PR1MA dalam keadaan pampasan ganti rugi kepada pembeli (LAD) tidak mahu dibayar serta masih terdapat beribu-ribu unit rumah yang terbengkalai atau lewat.

Memandangkan Parlimen kekal dikunci sehingga Ogos 2021, saya tiada ruang lain untuk bertanya melainkan secara terbuka kepada DSSK mengenai satu lagi majlis berbuka puasa yang telah diadakan pada 17 April 2021.

Program berbentuk jamuan dan sumbangan tersebut melibatkan kepimpinan UMNO Selangor termasuk Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Wanita, Ketua-ketua Pemuda serta Ketua-Ketua Puteri seluruh negeri Selangor.

Persoalannya:-

1. Berapakah kos penganjuran majlis keraian bersama UMNO Selangor termasuk belanja jamuan dan sumbangan?

2. Benarkah pegawai kanan PR1MA turut serta dalam program tersebut dengan makan di meja utama serta dilihat berada di pentas ketika penyerahan sumbangan?

3. Sekiranya benar, mengapakah pegawai kanan PR1MA hadir untuk program UMNO dan adakah terdapat sumbangan atau tajaan yang disalurkan?

Ini hanya menimbulkan lebih banyak keraguan dan saya sekali lagi menggesa agar DSSK bersikap telus untuk mendedahkan jumlah kos penganjuran majlis berbuka PR1MA.
Insyallah, saya selaku Ahli Parlimen akan terus memperjuangkan nasib dan hak pembeli rumah yang teraniaya dan ditindas.

PR1MA sepatutnya menumpukan sepenuhnya kepada “agenda perumahan mampu milik bagi M40 secara konsisten,” seperti yang disebut dalam kenyataannya semalam.

Cara yang terbaik untuk PR1MA beramal jariah adalah dengan mengurangkan beban yang ditanggung oleh para pembeli rumah dengan membuat bayaran penuh pampasan LAD serta memastikan pembinaan projek-projek rumah mengikut jadual dan tidak melambatkan tarikh siap sewenang-wenangnya.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up