Carian
November 1, 2022

RAKAN NIAGA LATIFF AHMAD DINAMAKAN SEBAGAI PENERIMA BAYARAN PALSU DALAM PROJEK SGPV

Saya mengalu-alukan pengumuman Dato’ Seri Latiff Ahmad, pimpinan BERSATU/Perikatan Nasional yang terpalit dengan skandal LCS untuk tidak bertanding dalam PRU15. 

Saya juga masih menunggu surat saman sivil dari beliau selepas pendedahan-pendedahan saya menunjukkan penglibatan beliau dalam skandal LCS melalui sebuah syarikat palsu yang bernama Alizes Marine Ltd. 

Saya ambil maklum kenyataan beliau minggu ini yang beliau mempunyai tempoh masa enam tahun untuk mengemukakan saman sivil terhadap saya. Saya berharap beliau tidak menggunakan taktik yang sama seperti Najib Razak, yang berjanji untuk menyaman Wall Street Journal tetapi sehingga ke penjara belum memfailkan saman tersebut. 

Walaupun telah mengumumkan persaraan dari politik, itu tidak bermakna Latiff Ahmad boleh bebas dari tuduhan-tuduhan berkait skandal LCS. 

Saya harap rakyat Malaysia bersabar sementara saya terus meneliti kes ini sehinggalah tangan- tangan ghaib yang menggugat keselamatan negara (demi kekayaan dan kepentingan diri) di bawa ke muka pengadilan. 

Pengalaman saya menunjukkan usaha untuk membongkar tangan-tangan ghaib di sebalik skandal-skandal besar negara selalunya memakan masa yang cukup lama. 

Sebab itu, bermula hari ini, saya ingin kembali memberi perhatian kepada skandal-skandal pertahanan negara iaitu LCS dan pembelian meriam Howitzer (SPH) yang telah saya dedahkan sebelum ini. 

Sehingga kini, Latiff Ahmad cuba mengelak mengenai pembabitan beliau dalam syarikat-syarikat yang dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik LCS dengan hanya memberikan penafian- penafian mudah. 

Satu-satunya penafian setakat ini adalah “Zainab bukan isteri saya”, sedangkan carian syarikat menunjukkan Latiff Ahmad adalah rakan kongsi Zainab dalam syarikat Alizes Marine Ltd yang dinamakan sebagai syarikat palsu yang mendapat kontrak pembekalan projek LCS. 

Keterlibatan Latiff Ahmad dalam perolehan projek LCS lebih sukar untuk dinafikan kerana ada lagi beberapa syarikat yang dinamakan di dalam Laporan Audit Forensik yang ada kaitan dengannya. 

Jika siasatan dalaman setakat ini hanya menamakan satu syarikat yang ada kaitan dengan Latiff Ahmad, dia boleh membuat tuduhan bahawa siasatan terkeliru (seolah-olah ada individu lain yang bernama Latiff Ahmad). 

Apabila siasatan menamakan juga syarikat-syarikat lain yang ada kaitan dengannya, atau individu-individu yang dikenal pasti sebagai rakan perniagaannya, sudah tentu bukti-bukti ini mengukuhkan lagi penemuan siasatan dalaman bahawa Latiff Ahmad mendapat laba (secara salah) dari perolehan projek LCS. 

Satu lagi dari syarikat yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Audit yang mempunyai kaitan dengan Latiff Ahmad ialah sebuah syarikat yang didaftarkan di Singapura bernama JSD Corporation Pte Ltd. 

Muka surat 75 Laporan Audit Forensik memperincikan bahawa syarikat ini mendapat bayaran sebanyak RM1.36 juta sebagai bayaran bagi khidmat teknikal dalam projek Second Generation Patrol Vessel (SGPV) sedangkan tidak ada bukti khidmat itu berlaku. 

Di hari-hari yang seterusnya, saya akan mendedahkan siapa di belakang JSD Corporation Pte Ltd, hubung kaitnya dengan tokoh-tokoh UMNO/BERSATU serta penglibatan mereka dalam pelbagai skandal selama ini. 

Saya menunggu maklum balas dari Latiff Ahmad untuk menafikan yang dia tiada kaitan dengan mana-mana individu di belakang JSD Corporation Pte Ltd yang telah dinamakan di dalam siasatan. 

RAFIZI RAMLI 

Related Posts
crossmenuchevron-up