Rakyat rugi RM4.07j Sehari Dalam Penipuan Kewangan Online Zafrul Harus Tunjuk Komitmen Bertindak

Rakyat rugi RM4.07j Sehari Dalam Penipuan Kewangan Online Zafrul Harus Tunjuk Komitmen Bertindak

Kumpulan Sokongan Mangsa-mangsa Penipuan Kewangan Online (Support Group for Victims of Online Financial Frauds) tampil di depan bangunan Parlimen untuk menghantar memorandum kepada ahli-ahli parlimen supaya suara ini didengar oleh pihak pembuat dasar dan pihak eksetkutif, khususnya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Kumpulan sokongan ini ditubuhkan dengan bantuan KEADILAN pada 21 Julai 2022. Keputusan ini diambil selepas kes-kes penipuan menjadi makin berleluasa dan kebanyakan mangsa menemui jalan buntu dalam mendapatkan bantuan. Dari tahun 2020 hingga Mei 2022, 68% daripada jumlah kes jenayah komersil adalah penipuan online dan jangkaan kerugian adalah sebanyak RM3.54 bilion, iaitu kehilangan sebanyak RM4.07 juta sehari secara purata.

Malangnya, dalam kebanyakan kes, walaupun peralihan wang dijalankan tanpa kesedaran dan kebenaran mangsa, mereka tidak diberikan layanan yang adil oleh bank-bank komersil. Pada masa yang sama, usaha PDRM dan BNM tidak mencapai matlamat, dan jelas kelihatan kes-kes penipuan kewangan terus meningkat secara mendadak.

EMPAT isu telah diketengahkan dalam memorandum ini, iaitu:
1. Kawal-selia Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap bank-bank komersil adalah terlalu lembap
2. Bank-bank komersil tidak mengambil peranan yang sepadan dengan tanggungjawab mereka
3. Tiada pusat sehenti untuk menguruskan aduan mangsa-mangsa penipuan
4. Siasatan PDRM hanya tertumpu kepada ‘keldai akaun’ buat masa ini

EMPAT tuntutan turut dibawa dalam memorandum tersebut, iaitu:
1.Bank Negara Malaysia
Menguatkuasakan tanggungjawab bank komersil atas kes transaksi tanpa kebenaran, iaitu pelanggan tidak boleh dipertanggungjawabkan jika atas faktor yang di luar kawalan pelanggan.

2.Bank Komersil
a. Bersedia mengambil tanggungjawab seperti apa yang diumumkan oleh Bank OCBC Singapura pada 30 Jan 2022, iaitu bersetuju membayar ganti rugi “kemurahan hati” (Goodwill) sebanyak RM44.4 juta (USD10.1 juta) kepada 790 pelanggannya yang menjadi mangsa dalam penipuan online melalui memancing data (phishing scam) .
b. Melaksanakan Kod Industri seperti yang telah diamalkan oleh institusi perbankan di UK supaya pampasan diberikan ke atas transaksi tanpa kebenaran.

3️. PDRM dan penguatkuasa lain
Berbincang dengan Peguam Negara (AG) untuk menyemak semula kesesuaian akta-akta mengikut keperluan semasa supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan lebih cekap, dan pengguna dapat dilindungi secara lebih menyeluruh.

4️. Mempercepatkan Siasatan Kes mangsa-mangsa penipuan khususnya yang tersenarai dalam Lampiran.

Kami menggesa para ahli parlimen supaya lebih prihatin dengan isu-isu kritikal ini. Pada masa yang sama, Tengku Zafrul wajar memberikan komitmen untuk menangani isu penipuan kewangan online yang telah tidak terkawal. Kerajaan seharusnya membela nasib rakyat, dan bukan bank-bank dan korporat besar.

YB LEE CHEAN CHUNG
PENASIHAT Kumpulan Sokongan Mangsa-mangsa Penipuan Kewangan Online
ADUN SEMAMBU
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *