Salurkan RM1 Bilion ‘Projek Khas’ PM Ke Dalam Akaun Amanah Bencana Covid-19

Salurkan RM1 Bilion ‘Projek Khas’ PM Ke Dalam Akaun Amanah Bencana Covid-19

Saya tertarik dengan pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa Jemaah Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama 3 bulan, dan ianya akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Namun seperti yang dikritik Majlis Presiden Pakatan Harapan malah juga Timbalan Presiden UMNO, pengumuman tersebut tidak bermakna elaun Ahli Parlimen dan peruntukan-peruntukan khas Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri juga disalurkan ke dalam akaun tersebut. Ini satu perkara yang perlu dijelaskan Perdana Menteri.

Kedua, wujud pandangan yang berkata Ahli-Ahli Parlimen termasuk dari kalangan Pembangkang juga patut menyalurkan elaun mereka ke dalam akaun yang sama.

Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya bersedia melakukan perkara ini dengan syarat utama Parlimen dibuka SEKARANG. Proses semak imbang yang telah tempang sejak Parlimen ‘dibekukan’ enam bulan lalu perlu dihidupkan semula, terutama dalam keadaan krisis pandemik yang berlarutan ini.

Jika Parlimen bersidang, pelbagai soalan yang bermain di fikiran rakyat akan dapat dijawab dengan segera dan jelas. Contohnya, berapa sebenarnya yang telah dibelanja untuk membangunkan laman web pendaftaran AstraZeneca, dan mengapa laman web tersebut gagal pada saat paling kritikal baru-baru ini?

Akhir sekali, sementara menunggu Parlimen dibuka semula, saya menggesa YAB Perdana Menteri agar menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu Ordinan Darurat bagi memperuntuk semula peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1 bilion dari Belanjawan 2021 di bawah tajuk ‘Projek Khas’ (Maksud Pembangunan 6, Butiran 93500, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021) untuk disalurkan secara terus ke dalam Akaun Amanah Bencana ini. Jumlah RM1 bilion ini jauh lebih besar berbanding elaun 3 bulan bagi 220 orang Ahli Parlimen (dianggarkan dalam RM16.5 juta), dan akan dapat digunakan segera untuk menangani pandemik ini.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *