Scammer Anggap BNM Sebagai Harimau Kertas

Scammer Anggap BNM Sebagai Harimau Kertas

Saya memandang serius atas kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan kita sehingga segelintir pencarum Lembaga Tabung Haji (TH) yang kini turut menjadi mangsa. Ekoran daripada sikap kelalaian dan pengabaian pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dari segi pemantauan dan juga kelemahan sekuriti TH sendiri, sebanyak RM98,900 telahpun dipindahkan daripada akaun TH mangsa kepada pihak ketiga, dan kemudian dilesapkan oleh sindiket scammer yang licik dan jahat.

Mangsa juga telah memaklumkan bahawa beliau tidak menerima sebarang panggilan pengesahan, mesej atau “OTP/TAC” daripada pihak Tabung Haji, namun transaksi pengeluaran wang daripada akaun TH terus diluluskan. Pihak sindiket telah berjaya mengaktif dan menyambungkan akaun TH mangsa kepada akaun Bank Islam beliau sendiri. Bukan setakat itu sahaja, malah sindiket tersebut juga telah menyambungkan akaun mangsa kepada akaun bank pihak ketiga.
Selepas laporan polis dibuat, mangsa juga dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat bahawa pihak bank hanya akan memberi butiran penerima akaun selepas satu atau dua bulan. Bukankah tempoh sebulan dua ini terlalu tidak munasabah dan akan merumitkan kerja kerja siasatan pihak penguatkuasa?

Adakah BNM lalai dalam membuat pengawal seliaan supaya institusi perbankan sentiasa dilengkapi dengan teknologi keselamatan yang terkini?

Institusi kewangan badan berkanun kerajaan memainkan peranan sosial yang penting dalam kehidupan kita. Berbanding dengan bank swasta, Institusi kewangan kerajaan ataupun berkaitan kerajaan memikul amanah yang lebih tinggi dalam menjaga dan mempertahankan harta dan simpanan rakyat. Dalam hal ini, jelas sindiket-sindiket sudah tidak takut kepada BNM yang hanya dianggap sebagai harimau kertas sahaja.

Pada masa yang sama, Lembaga Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan Jemaah Haji Malaysia. Sebanyak 9 juta pencarum meletakkan simpanan mereka dengan harapan bahawa simpanan ini diuruskan dengan cekap dan selamat supaya mereka dapat menyempurnakan urusan jemaah ke Arah Haji Mabrur.

Untuk menjawab keraguan jutaan pencarum, saya menggesa Lembaga Tabung Haji tampil untuk memberikan penjelasan terhadap tahap keselamatan sistem perbankan online mereka kepada orang awam dalam masa terdekat. Dan sekiranya transaksi tersebut dibuktikan telah lulus tanpa kebenaran pencarum, ganti rugi yang setimpal sewajarnya diberikan.


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *