Carian
November 18, 2021

Tindakan Kabinet Bincang ‘Menghadiahkan’ Tanah Dan Rumah Kepada Najib Tidak Masuk Akal

Mengejutkan tatkala mendapat pengesahan daripada Menteri Kewangan bahawa Kabinet sebulat suara telah menerima satu permohonan untuk menghadiahkan sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Ahli Parlimen Pekan yang dianggar bernilai RM100 juta.

Perkara ini tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada kami dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.

Pada saat rakyat sedang menderita, para doktor kontrak yang masih tidak jelas nasib mereka, anak-anak B50 berdepan pelbagai rintangan dan halangan untuk belajar, dan begitu ramai rakyat Malaysia yang hilang pendapatan, tempat tinggal, malah juga nyawa, tindakan Kabinet untuk ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan yang paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.

Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.

Malah beliau sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri.

Keputusan yang amat mengejutkan ini memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up