Carian
June 18, 2021

Untuk Elak Krisis Perlembagaan, Paling Lewat Parlimen Bersidang 2 Oogos, Bukan September Atau Oktober

Pada 15 Jun, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sewaktu pembentangan ‘Pelan Pemulihan Negara’ telah menyatakan bahawa Parlimen boleh bersidang sewaktu Fasa 3 pelan tersebut, dijangka sekitar September atau Oktober 2021.

Pada 16 Jun pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengulangi bahawa paling awal Parlimen boleh bersidang ialah September.

Saya percaya kenyataan mereka ini dibuat atas beberapa perkiraan, termasuk jumlah kes COVID-19 serta lain-lain tanda aras. Namun ada satu tanda aras yang tidak diambil kira Perdana Menteri dan Menteri, iaitu darurat.

Umum sedia maklum bahawa pendirian Raja-Raja Pemerintah dalam isu darurat seperti yang dinyatakan di dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja ialah tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Kita juga sedia maklum bahawa hari ini merupakan hari ke-183 atau 6 bulan 1 hari sejak berakhirnya sidang Parlimen terakhir, iaitu pada 17 Disember 2020. Ini bermaksud, kita hari ini berhadapan dengan pelanggaran Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkaan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.”

Untuk mengatasi isu ini, Kerajaan menggunapakai Perkara 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, iaitu:

“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubung dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan;”

Walau bagaimanapun, sekiranya darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, ini bermaksud Perkara 14(1)(a) tidak lagi terpakai kerana darurat sudah tidak berkuat kuasa. Maka Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan akan terpakai semula pada ketika itu.

Oleh yang demikian, untuk mengelak dari berlakunya satu krisis Perlembagaan, Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos 2021. Bukan September ataupun Oktober, seperti yang diulang-ulang Tan Sri Mahiaddin dan Datuk Seri Takiyuddin.

Saya gesa Tan Sri Mahiaddin dan Datuk Seri Takiyuddin untuk segera mendapatkan nasihat Peguam Negara dan menjelaskan kepada umum tentang perkara ini, untuk mengelak dari mengelirukan orang ramai termasuk juga Ahli-ahli Parlimen.

Lebih dari itu, memandangkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah telah bertitah agar Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’, memandangkan Parlimen adalah platform terbaik untuk mendengar masalah dan menyelesaikan isu rakyat, dan untuk mengelak dari berlakunya sebarang krisis Perlembagaan, Perdana Menteri mesti seawal hari ini mohon menghadap dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up