Carian
May 9, 2021

Kegusaran Ibu Bapa Dan Guru Menjelang Pelaksanaan PDPR Selepas Cuti Aidilfitri: KPM Perlu Bertindak Pro-Aktif

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa sejurus selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, semua sekolah di seluruh Malaysia akan ditutup dan proses pembelajaran akan menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ini bakal dilakukan tanpa adanya apa-apa pendekatan lebih kreatif dan ‘luar kotak’ dalam berhadapan dengan pembelajaran di kala pandemik.

KPM dilihat hanya bertindak secara ‘knee jerk reaction’ tanpa mempunyai pelan jangka masa panjang, pelan kecemasan (contingency plan), dan jauh sekali dari pendekatan yang lebihkreatif, terutama dalam menghadapi suasana kemiskinan digital dan kesenjangan akses kepada pendidikan dalam talian. Hal ini telah menimbulkan kegusaran ramai pihak, terutama ibu bapa dan guru.

Pelbagai keluhan dan kritikan telah diutarakan melalui media sosial, namun tiada maklum balas yang bertanggungjawab diberikan oleh pihak KPM seperti kebiasaannya.

Berikut adalah antara isu yang disuarakan oleh ibu bapa dan guru:

Penutupan Sekolah Secara Pukul rata

1. Penutupan sekolah secara pukul rata di seluruh negara selepas cuti Aidilfitri tanpa bersandarkan pada sains dan data untuk mengenal pasti hotspot COVID-19 menyukar
dan membantutkan penyelarasan kerja pentadbiran di sekolah dan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Dalam tempoh serta merta sekolah ditutup dan dibuka menyebabkan guru terpaksa melakukan sesi pembelajaran tanpa persediaan rapi. Kesannya, murid-murid hilang tumpuan dalam pelajaran dan guru-guru terbeban dengan
kerja persiapan bagi kelas fizikal dan PdPR. KPM perlu membezakan kawasan hijau dan selamat dari kawasan di zon merah, kuning dan berpotensi. Sistem HIDE boleh membantu KPM mengenalpasti sekolah yang sesuai ditutup ataupun tidak. Bagi kawasan pedalaman dan luar bandar yang jauh dari jangkitan dan tiada kes serta pergerakan keluar dan masuk, KPM sepatutnya membenarkan sekolah-sekolah terus dibuka, terutama kerana capaian internet tidak mencukupi untuk mereka menjalani PdPR.
2. KPM juga boleh menggunakan sistem penggiliran persekolahan. Sebagai contoh, bagi pelajar yang akan menghadapi SPM tahun 2021, mereka dicadangkan menghadiri ke sekolah setiap hari. Namun bagi pelajar tingkatan 4, mereka boleh hadir ke sekolah pada Isnin untuk PdPc, hari Selasa PdPR, hari Rabu PdPc, hari Khamis DidikTV, dan hari Jumaat ke sekolah untuk PdPc.

Masalah Peranti dan Capaian Internet

3. Ibu bapa memang risau PdPR dilaksanakan semula. Masalah peranti dan capaian internet terus wujud. Malah status program pemberian 150,000 peranti yang diumum 6 November 2020 tidak diketahui, dan usaha kerajaan untuk meningkatkan capaian internet secara drastik di kawasan luar bandar juga tidak nampak kesungguhannya. Tiada Pelan Alternatif Untuk Menangani Keciciran Pelajaran

4. Ibu bapa juga risau perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah. Murid-murid mungkin ketinggalan dalam silibus sekolah akibat tidak dibenarkan untuk ke sekolah oleh ibu bapa berdasarkan keadaan pandemik yang semakin kritikal kini. Tiada alternatif yang dicadangkan oleh KPM untuk membantu murid-murid dari segi pelajaran mereka.

Sepatutnya setelah setahun berlalu, pihak KPM sepatutnya boleh menyediakan bahan-bahan pembelajaran kendiri kepada murid-murid dengan pedagogi yang baharu dan fleksibel. Ternyata sehingga kini KPM hanya mengambil jalan mudah buka dan tutup sekolah, serta mengarahkan PdPR sahaja. Apakah sistem pendidikan kita sudah kekontangan ide baharu demi menjamin kelangsungan pendidikan murid?

5. Lebih membimbangkan, ibu bapa juga tidak tahu sejauh mana anak mereka benar-benar belajar dan menguasai topik yang diajar. Ibu bapa tidak boleh menyemak buku latihan, dan KPM tidak memberi panduan - secara fizikal mahupun melalui aplikasi khusus - untuk ibu bapa memantau pembelajaran dan perkembangan anak-anak.

Bebanan Para Guru

6. Bagi pihak guru-guru pula, mereka menjadi terbeban untuk PdPR kali ini kerana terpaksa mengajar seperti jadual dalam bilik darjah walaupun di atas talian. Guru-guru
terpaksa mengadap laptop sepanjang hari seperti duduk dalam kelas, meskipun persediaan untuk PdPR lebih mencabar dan kompleks berbanding kaedah bersemuka. Lebih malang lagi mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli data tambahan, membeli alat bantu mengajar dan lain-lain keperluan untuk PdPR selain dari berkongsi data untuk anak-anak mereka sendiri belajar. Di atas dasar inilah Jawatankuasa ini mendesak agar para guru diberikan insentif tambahan apabila berlangsungnya PdPR.

7. KPM perlu proaktif membantu warga sekolah dalam memastikan kualiti pendidikan sentiasa terjamin. Antaranya dengan memberi bimbingan dan panduan yang tentang
pedagogi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian kepada guru-guru. Kerja-kerja pengutipan dan penyelarasan data sekolah seharusnya dilakukan oleh pegawai tadbir di peringkat PPD, JPN, dan KPM. Guru-guru seharusnya dikurangkan beban kerja perkeranian sewaktu pandemik seperti memberikan laporan harian PdPR di peringkat sekolah, PPD dan JPN. Mereka sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah/PdPR. Bagi mengurangkan tekanan kepada guru, perjalanan PdPR seharusnya dilaporkan kepada Pengetua sekolah sahaja. Menjadi tanggungjawab Pengetua untuk memberi laporan PdPR sekolah kepada PPD, JPN dan KPM.

Pelajar-Pelajar SPM tahun 2021

8. Bagi pelajar-pelajar SPM tahun ini (2021), keadaan lebih membimbangkan. PKP yang panjang berlaku ketika mereka berada di tingkatan 4 dan 5 pada tahun lalu telah menjejaskan prestasi dan pembelajaran mereka. Jika pelajar SPM tahun lalu (2020) hanya terjejas dengan pembelajaran tingkatan 5 sahaja sepanjang tahun 2020, bagi pelajar SPM tahun ini pula, mereka telah kehilangan dua tahun pembelajaran akibat PDPR terbaru ini. Maka, penguasaan pelajar-pelajar SPM tahun ini berhubung subjek tingkatan 4 dan 5 amat terjejas dan adalah lemah. Pihak KPM sepatutnya mengurangkan topik subjek sesuai dengan tempoh pembelajaran mereka yang sebenar.

Hakikatnya, semasa mereka berada di tingkatan 4 tahun lalu, tiada PdPR yang tersusun, dan mereka seolah-olah kehilangan setahun pembelajaran. Berhubung hal ini,
KPM perlu war-warkan kepada umum apakah langkah proaktif mereka berhubung pelajar-pelajar SPM tahun ini.

Pendekatan Alternatif Untuk Mengatasi Masalah Keciciran

Isu kemiskinan digital, kesenjangan akses kepada Pendidikan dalam talian dan ponteng sekolah merupakan isu yang real. Telah berkali-kali isu ‘Lost Generation’ akibat keciciran pembelajaran di kalangan anak-anak sepanjang tempoh pandemik ini telah dibawa oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sejak tahun lalu. Malangnya sehingga kini tiada usaha serius dan radikal oleh pihak KPM, mahupun kerajaan amnya seperti yang pernah diutarakan oleh YB Dr Maszlee Malik di dalam 12 cadangannya kepada kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Lebih malang KPM bagaikan mendiamkan diri dan gagal meyakinkan rakyat yang mereka mampu untuk mengatasi masalah Lost Generation ini.

Hal ini merisaukan ibu bapa dan rakyat keseluruhannya tentang apakah yang bakal berlaku kepada masa depan negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lagi? Apakah kita bakal berdepan dengan kemelut ekonomi, sosial dan jenayah yang kronik, hasil dari keciciran pelajaran anak-anak kita selama dua tahun ini? KPM perlu bertanggungjawab dan melakukan tindakan pro-aktif, radikal dan kolektif berhubung halini sebelum terlambat!

Kesimpulan

Sehubungan dengan itu, kami menggesa pihak KPM yang diterajui oleh YBMK Senator Dr Radzi Jidin dan kedua-dua timbalannya, YB Dato Dr Mah Hang Soon, dan YB Tuan Muslimin Yahaya untuk bertindak proaktif melakukan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk memperbaiki keadaan. Kami juga mendesak agar segala
cadangan yang dikemukakan bersama isu-isu yang telah disenaraikan di atas dapat dilaksanakan kerana ianya merupakan suara hati rakyat, akar umbi dan para pendidik.

Sikap lengah membuat keputusan, berdiam diri dan bertindak tanpa mengambil kira pandangan rakyat dan pemegang taruh yang ditunjukkan oleh Menteri dan kedua timbalannya perlu diberikan titik noktah demi masa depan pendidikan anak-anak bangsa.

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)

Related Posts
crossmenuchevron-up