
Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025/2028 telah diadakan buat julung kalinya pada petang tadi. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YAB Presiden, dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.
Mesyuarat dimulakan dengan mengambil kira siri pelaksanaan dasar-dasar yang bakal dibawa oleh pihak eksekutif beserta impak terhadap kos sara hidup rakyat. Langkah-langkah susulan turut diperhalusi bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti.
Kedua, perbincangan turut menjurus kepada Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi. Tumpuan parti pada ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Timbalan Presiden serta semua Naib Presiden telah diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan parti dan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani.
Demi kelangsungan persediaan pilihan raya, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, saudara Mustapha Sakmud, akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Negeri Sabah sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan MPN yang baharu. Dalam konteks yang sama, saudara Peto Galim juga akan meneruskan tanggungjawab beliau sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Negeri (JPRN) Sabah.
Selain itu, mesyuarat turut membuat ketetapan bahawa saudari Fuziah Salleh dan saudara William Leong akan terus menjalankan tugas masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung, sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang akan diadakan kelak
BIRO POLITIK
PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)