Carian
April 22, 2024

PROGRAM FELO KEADILAN DILANCARKAN UNTUK MELAHIRKAN PERINTIS PEMIMPIN MUDA DALAM PARTI

Semalam Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad telah menyempurnakan pelancaran program Felo KEADILAN di Konvensyen 25 Tahun KEADILAN.

 

Felo KEADILAN merupakan sebuah program latihan kepimpinan yang berteraskan matlamat perjuangan KEADILAN dan pembangunan negara. Matlamat utama program ini adalah untuk mendedahkan peserta kepada matlamat dan halatuju parti, asas kepimpinan dalam masyarakat, penggubalan dasar, aktiviti lapangan di peringkat akar umbi serta modul-modul pendidikan politik.

 

Menerangkan dengan lebih lanjut mengenai program ini, Nik Nazmi berkata bahawa pemerkasaan anak muda adalah penting bagi meneruskan legasi perjuangan dan pertumbuhan parti, terutamanya dengan cabaran untuk mendekati anak muda pada hari ini.

 

“Menyedari akan kepentingan anak muda, saya memperkenalkan program Felo KEADILAN – satu inisiatif yang bertujuan untuk melahirkan perintis pemimpin muda dalam parti KEADILAN.” Ujarnya lagi, program ini bukan hanya akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, tetapi juga nilai-nilai penting seperti keadilan, integriti, dan politik khidmat kepada rakyat.

 

“Program ini bukan sekadar platform latihan; ia merupakan platform untuk memberdayakan individu menjadi pemacu perubahan positif dalam komuniti masing-masing. Melalui proses membimbing anak muda untuk menghayati semangat KEADILAN,kita akan memiliki masa hadapan yang lebih cerah. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha mewujudkan program Felo KEADILAN, dan saya memberikan sokongan penuh kepada peserta yang terpilih untuk memulakan transformasi ini.

 

“Marilah bersama-sama membentuk jalan ke arah masa hadapan yang lebih adil – masa hadapan yang menyaksikan suara dan aspirasi belia didengar dan dihargai.”Melalui program ini, peserta akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus dengan wakil rakyat serta pimpinan parti.Calon peserta akan melalui proses pemilihan yang teliti dan akan ditemuramah sebelum dipilih sebagai Felo KEADILAN. Program yang akan berlangsung selama tiga bulan ini terbuka kepada ahli KEADILAN merangkumi para aktivis serta golongan profesional.

Kriteria lain untuk calon peserta adalah seperti berikut:

 Ijazah Sarjana Muda atau pengalaman dalam aktivisme dalam sebarang disiplin

 Sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun pengalaman kerja dalam sebarang bidang

 Menunjukkan pengalaman dalam peranan kepimpinan

 Menunjukkan minat dalam bidang politik

 

Peserta akan mempelajari mengenai teori dan konsep kepimpinan, komunikasi,

pembangunan konstituensi, serta penggubalan dasar sebelum membentangkan projek batu

penjuru (capstone) di akhir program ini.

Calon yang berminat boleh berdaftar dengan melayari www.felokeadilan.my.

Related Posts
crossmenuchevron-up