Carian
July 16, 2022

UCAPAN DASAR PRESIDEN KONGRES NASIONAL KE-16

Muat Turun Ucapan Dasar Presiden Kongres KEADILAN 2022 (16 Julai 2022).

 

 

PLEASE CHECK AGAINST DELIVERY SILA SEMAK SEMASA PENYAMPAIAN

TEKS UCAPAN DASAR

ANWAR IBRAHIM PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)

“MENJULANG KEADILAN”

KONGRES NASIONAL TAHUNAN KEADILAN KE-16

IDCC, SHAH ALAM

16 JULAI 2022 BERSAMAAN 16 ZULHIJJAH 1443H

Penghargaan

Saudara saudari perwakilan yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, di atas kejayaan kita bersama menyempurnakan Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kali ke-16 yang bertempat di IDCC Shah Alam, Selangor.

Setelah dihimpit pandemik COVID-19 yang menghalang sebarang perhimpunan akibat PKP paling lama di dunia yang mengakibatkan melonjak jumlah kemiskinan dan pengangguran serta membengkak kesenjangan di antara kelompok kecil maha kaya dan majoriti rakyat yang menghadapi kehidupan terdesak.

Alhamdulillah, tahun ini kita kembali dapat berkumpul. Maka, manfaatkan kesempatan ini untuk bersilaturahmi, mengukuh ukhuwah dan persaudaraan, merencana dan membahas soal dasar parti.

Saudara saudari perwakilan yang dimuliakan,

Penggerak awal parti membidani parti sebagai wadah perjuangan rakyat dengan idealisme murni. Terlalu ramai, malah mencecah ribuan pimpinan dan reformis yang didera, dihumban ke penjara serta yang hilang sumber pendapatan. Sebahagian besar dari mereka tidak pernah didendang atau tercatat nama mereka.

Justeru itu, pimpinan dan penggerak parti kini yang menyaksikan wadah lebih kukuh tidak harus meremehkan sumbangan dan pengorbanan setiap tenaga. Proses penerokaan idea dan gagasan baharu perlu dimantapkan dan saya ingin menyeru rakan-rakan pejuang lama untuk bersama mengiktiraf keperluan perubahan dengan lonjakan baharu mendepani tantangan semasa.

Atas kesempatan yang sama, saya ingin mengingatkan hadirin untuk lebih peka dan menjaga disiplin kesihatan tatkala pandemik ini masih belum berakhir dan kes semakin menular saban hari.

Izinkan saya merakamkan tahniah atas kejayaan pelaksanaan Pemilihan KEADILAN yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang diketuai Dr Zaliha Mustafa. Persaingan semestinya sedikit menghangatkan suhu politik dalaman, namun saya bersyukur pada umumnya ia dikendali dengan memuaskan dan beberapa kelemahan dapat ditangani dengan berhemah.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Rafizi Ramli yang kembali bersama barisan pimpinan sebagai Timbalan Presiden. Demikian jua kepada saudara Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Aminuddin Harun yang telah dipilih sebagai Naib-Naib Presiden parti. Tahniah juga buat Saudara Adam Adli yang dipilih mengetuai Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan saudari Fadhlina Sidek yang kini mengetuai sayap Wanita. Kedua-dua mereka merupakan sosok baru dan muda yang dipercayai akan menggilap dua tonggak parti di kalangan anak muda dan wanita. Barisan pengapit Presiden semuanya terdiri dari kalangan muda, generasi kedua dalam sejarah KEADILAN. InshaAllah, kita mampu menzahirkan wajah dan pendekatan baharu yang lebih meyakinkan.

Persaingan ini adalah di antara keluarga yang menunjangi dasar dan idealisme KEADILAN. Khittah atau landasan tersebut telah dirangka lebih dua dasawarsa yang lalu. Maka, sewajarnya kita lafazkan penghargaan kepada rakan-rakan yang berjasa dan bersama dalam musyawarah termasuk saudara Saifuddin Nasution Ismail, saudari Fuziah Salleh, saudara Akmal Nasir, saudara Fahmi Zainol, dan saudari Rodziah Ismail.

Dengan penuh tawadu’, saya menerima mandat menggalas tugas sebagai Presiden daripada semua pimpinan dan penggerak parti. InshaAllah, saya akan sempurnakan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab memperkukuh semangat kekeluargaan dan kesatuan.

Berbeda dengan kaedah parti politik biasa, kita membenih dari penderitaan rakyat dan memekar sebagai satu gerakan rakyat. Barisan pimpinan tua dan muda, di kota dan di desa harus sentiasa insaf bahawa kekuatan rakyat dari kalangan pekerja, petani, nelayan, pemandu teksi, penjawat awam, veteran polis dan tentera, peniaga kecil, OKU dan Orang Asli serta yang lain-lain yang memberi nafas dalam pergerakan ini.

Saya lebih terkesan dengan beban yang pernah dipikul sekian lama oleh Azizah selaku Presiden. KEADILAN adalah parti pejuang, lahir di jalanan, penggerak dan aktivisnya ditahan lasak, garang dan lantang.

Alhamdulillah, keadaan masih terkawal dan akan lebih padu dan mantap dengan akhlak dan adab berjemaah. Kegawatan dalaman perlu dirungkai menurut wasilah atau kaedah yang ditetapkan. Dan, sepertimana yang digesa Hujjatul Islam Imam al Ghazali, pimpinan dan anggota perlu sama bertawaddu’, mengelak ciri keangkuhan - takabbur, riak dan ujub.Maka atas kesedaran itu, pimpinan harus diperingatkan agar peka dengan permasalahan mereka dan bersikap inklusif dalam segala tindakan mereka dan sentiasa waspada terhadap sebarang muslihat untuk menghidupkan faham kabilah atau agenda kelompok yang keterlaluan dan merosakkan kesatuan wahana yang kita kasihi ini.

Kisah-kisah Perjuangan Yang Wajar Diteladani

Haji Abdul Kudus Haji Omar (Pak Kudus)

Kita boleh mengambil teladan daripada beberapa kisah tentang reformis lama, termasuk Allahyarham Haji Abdul Kudus Bin Haji Omar atau Pak Kudus yang berjuang meletakkan asas KEADILAN di Tanjung Karang. Pak Kudus menjadi antara individu yang menjelajah seluruh pelusuk tanahair. Beliau adalah pegawai Cawangan Khas (Special Branch) yang menyiasat saya di lokap High Street, KL terkait kes demonstrasi Baling 1974. Pencen yang kecil digunakan sepenuhnya buat menampung perjalanan kempen Reformasi. Malah, sebaik kita bertapak di kerajaan negeri Selangor, saya menggesa pimpinan untuk membantu meringankan beban hidup beliau. Beliau sukar memperolehi bantuan ketika itu. Saya himbau kisah-kisah ini untuk menarik perhatian pimpinan dan pembesar parti agar sentiasa peka dengan nasib reformis marhaen.

Dato’ Sheikh Azmi Haji Ahmad

Ketua Hakim Mahkamah Syarie Wilayah Persekutuan di mohon menyertai KEADILAN dan bertanding di Kulim Bandar Baharu tanpa berlengah, beliau meletak jawatan dan berjuang bersama tanpa syarat dan jaminan.

Jayathas dan Bill Kayong

Begitu juga tokoh-tokoh seperti Jayathas dan Bill Kayong. Saya gesa pimpinan dan anggota untuk meneladani komitmen dan tekad mereka dalam bersama memungkinkan agenda reformasi.

Mukaddimah

Saudara saudari perwakilan yang dikasihi sekalian,

Negara kini terbelenggu dalam krisis keyakinan - Azimat at Thiqqah yang dahsyat. Pemerintahan tegak dengan ikatan rapuh tanpa pengarahan dan hala tuju yang jelas; ibarat nakhoda mengemudi kapal tanpa haluan!

Walhasil, permasalahan rakyat yang terpaksa bergelut dengan krisis ekonomi, pengangguran, peningkatan kos sara hidup tidak mampu ditangani dengan bijak. Kebijakan yang diperkenalkan tertumpu kepada langkah menyelamatkan politik penguasa dan pemerintah. Seluruh sendi nadi kenegaraan tergugat, rasuah tidak terkawal, ketegangan sosial dan kaum tambah menguak dan kegetiran serta penderitaan rakyat meruncing.

Sistem politik usang berdekad yang menghalalkan rasuah dan dasar serta kebijakan yang memihak kepada sang penguasa dan elit politik terus diamalkan sepertimana yang sering kita utarakan, yakni pemimpin politik silih berganti, dasar baharu di uar-uarkan. Walhasil faedah besar tetap menjurus kepada kelompok kecil pimpinan politik, keluarga dan kroni mereka. Sedikit sahaja habuan dilempar kepada rakyat. Melalui kontrak besar, komisyen, pembalakan dan pembahagian tanah diagih seolah faraid harta pusaka keluarga mereka.

Ketelanjuran pemerintahan menjalar ke semua benua. Mutakhir ini kita saksikan gejolak di Sri Lanka akibat kebejatan dan rompakan khazanah negara oleh keluarga Gotabaya Rajapaksa. Rakyat yang taat dan mencintai negara yang harus meletakkan harapan kepada pemimpin yang dipilih melalui proses pilihanraya yang batil, diselaputi rasuah dan ugutan berakhir dengan pengkhianatan pemimpin dan elit politik. Rakyat yang patuh dengan slogan nasionalisme, patriotisme menurut gesaan pemimpin berakhir dengan kehidupan sengsara.

Hubaya dengan jenis pimpinan sebegini yang manakala terdesak akan menguakkan slogan kebangsaan dan cintakan negara - “patriotism is the last refuge of a scoundrel”.

Tokoh-tokoh dunia barat yang dahulunya banyak berkuliah mengenai demokrasi dan tatakelola pemerintahan yang baik dan menganggap kepincangan sistem tertumpu hanya kepada negara-negara membangun di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin kini dirundung masalah yang hampir sama parah. Maka, tidak hairanlah munculnya perasaan sinis, kecewa atau curiga di kalangan rakyat antaranya generasi muda terhadap para pembesar politik kerana kemunafikan dan jurang di antara retorik dan kenyataan.

“Boris Johnson has vandalised the political architecture of Britain, Ireland and Europe”. Boris Johnson, mantan Perdana Menteri Inggeris telah disanggah kerana telah memporak-perandakan kerangka politik Inggeris, Ireland dan Eropah.

“...a sycophantic press and a cabinet specially selected for slavish self- abasement.” Rencana The Guardian menambah bahawa ini berlaku dengan wujudnya peranan akhbar penjilat penguasa dan perdana menteri dan jemaah menteri yang dipilih kerana sikap hamba demi kepentingan peribadi.

Sebelumnya di Amerika Syarikat, Presiden Donald J. Trump dianggap bersikap keterlaluan kerana mendukung gagasan ‘white supremacist’ - pelampau kulit putih, menghina minoriti kulit berwarna di Amerika dan berprasangka buruk terhadap umat Islam - Islamofobia. Pentadbiran beliau dikaitkan dengan penyimpangan dari landasan demokrasi dan negara hukum.

Manakala semua taktik licik dan muslihat gagal, penguasa memilih untuk memfitnah dan mendera. Jentera pemerintah dikerah untuk menekan dan cuba memadamkan pengkritik.

SN Muhammad Haji Salleh mengungkapkan:

“Seadegan aniaya dirancang dalam skrip rahasia dilakonkan di lebuh,
Terpenjara hukum di belakang jerjak”

(‘Setitik’, 16 September 1999)

Persoalannya sekarang adalah samada ciri-ciri kebobrokan dan kerosakan tatakelola negara kian meresap dan menanah di negara kita. Dan apakah slogan dan janji, iltizam membanteras rasuah dan membela nasib rakyat yang sering dikumandangkan pimpinan, elit politik dan korporat dihayati sepenuhnya? Sanggahan Al Quran-ul-Kareem mengenai percanggahan di antara kenyataan dan amalan wajar dijadikan peringatan dan sandaran.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (itu sangatlah dibenci di sisi Allah SWT, jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (Surah As Saff 2- 3)

Sumber terjemahan: ‘Tafsir al Munir’ oleh Syeikh Wahbah Az Zuhaili

Sesungguhnya, perjuangan dan islah (reformasi) harus bertolak dari keyakinan, pancaran dhamir hati nurani. Hanya dengan kefahaman tersebut akan berlabuh politik nilai, berteraskan akhlak, etika dan integriti yang kian janggal dan terasing dari dunia politik.

Ditegaskan semula bahawa sikap mual dan sinis terhadap pimpinan dan kerjaya politik berpunca dari kemunafikan pimpinan kerana gagal, malah enggan menunaikan janji dan bertindak bertentangan dengan prinsip akhlak dan nilai. Ada yang meluahkan kenyataan dan dasar seringkali memukau kerap dirangka konsultan hebat tetapi hasilnya hambar. Ada yang menguar-uarkan politik suci pembangunan tetapi merompak kontrak dan balak. Selainnya adalah melalui kenyataan dan teladan yang memualkan.

Harus ada kepekaan terhadap permasalahan kerana kadang-kadang kenyataan yang memukau tetapi di sebaliknya mereka menonjolkan teladan yang tidak waras.

Walhasil seandainya kita ingin bersama dalam gerakan rakyat yang menuntut islah (‘reforms’), kita harus waspada terhadap kemunafikan yang meluahkan prinsip murni tetapi melanggar sumpah keramat tersebut.

Tidak dimungkiri bahawa asakan yang telah kita lakukan bersama bertubi- tubi menentang rasuah dan kezaliman, membela nasib rakyat dari isu kos sara hidup, perumahan atau upah telah terpahat di hati sanubari rakyat. Namun, dalam meneruskan usaha selanjutnya, kita perlu bersedia melakukan anjakan dan pendekatan baharu. Akar umbi perlu diberi pencerahan mengenai sistem dan dasar yang kini diamalkan secara tuntas condong mempertahankan status quo, elit penguasa dan kalangan mahakaya.

Penerangan dan penjelasan tidak harus terbatas di kalangan masyarakat kota dan pinggir kota. Kelemahan ketara KEADILAN dan juga PH umumnya adalah kekangan menerobos ke kawasan desa dan pedalaman. Kita harus yakin dengan prinsip kemuliaan insan, menyentuh naluri rakyat dengan nilai manusiawi yang menolak rasuah dan kezaliman dan mencintai keadilan.

Kita tidak mungkin mengharapkan agensi penerangan dan komunikasi pemerintah untuk memberi pencerahan. Maka sebab itu rakyat harus

sentiasa diberi pencerahan mengenai yang haq’ dan yang bathil, yang ma’ruf dan yang mungkar, yang benar dan yang palsu. Sistem pendidikan negara masih belum mampu memupuk tradisi pemikiran kritis dan kreatif mengimbangi ilmu dan keterampilan dengan nilai kemanusiaan yang luhur.

Cabaran pengisian ini harus dipikul oleh penggerak dan aktivis di lapangan. Penyair dan budayawan WS Rendra membedah permasalahan ini dalam Sajak Anak Muda yang akan saya nukilkan beberapa rangkap.

Kita adalah angkatan gagap
yang diperanakkan oleh angkatan takabur. Kita kurang pendidikan resmi
di dalam hal keadilan,
karena tidak diajarkan berpolitik,
dan tidak diajar dasar ilmu hukum.

Sajak Anak Muda (WS Rendra) Pejambon, Jakarta, 23 Juni 1977

Pendidikan harus menjurus ke arah pencerahan dan kebijaksanaan - hikmah dan dirumuskan novelis Rusia Fyodor Dostoevsky, “it takes something more than intelligence to act intelligently” (‘Crime and Punishment’, [1886])

Yang didambakan bukan semata ilmu, ketrampilan atau kepintaran tetapi kebijaksanaan dalam tindakan.

Sayugia diingat bahawa sang penguasa tidak mungkin melakukan rompakan mega khazanah negara tanpa rencana licik segelintir penjawat awam, teknokrat dan badan penguatkuasaan.

Para profesional dalam agensi kerajaan juga terpalit dengan rencana ini, termasuk para sarjana dan profesor serta badan-badan budaya dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Semuanya hanya untuk mempertahankan sang penguasa dan sistem dalam satu jajaran.

Jika diteliti isu rompakan dana 1MDB, ia turut melibatkan institusi kewangan ternama Goldman Sachs. 1MDB yang dianggap rompakan berskala besar menghirup dana awam mula saya ketengahkan di Dewan Rakyat pada bulan Jun 2011 untuk dibahas dan dirujuk ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Parlimen menolak usul tersebut dan tidak diteliti PAC. Sekiranya mereka peduli dan ianya diambil tindakan sedari awal, ternyata kita mampu untuk mengelak dari menjadi malapetaka besar. Isu itu kemudian dicerahkan dengan lebih teliti dan terperinci oleh saudara Rafizi Ramli, Tony Pua dan rakan-rakan lainnya secara tuntas dan keras. Sekitar tahun 2013, menjelang PRU13, sebahagian dari watak yang kemudiannya bersama PH memilih untuk bungkam serta mempertahankan skim ini serta kleptokrat yang memungkinkannya.

Global Financial Integrity 2012, Panama Papers 2015 dan kini Pandora Papers 2021 yang melibatkan terlalu ramai para petinggi politik. Tugas kita adalah untuk memberi pencerahan bahawa elit politik telah merompak berbilion ringgit dana negara dan rakyat untuk kepentingan peribadi dan keluarga. Jumlah besar tersebut mampu mengatasi masalah kemiskinan, pendidikan, perumahan dan kesihatan rakyat.

Manakala dibangkitkan isu rompakan negara, tokoh-tokoh tersebut ibarat cacing kepanasan. Mereka turut sekonyong-konyong muncul membicara soal tatakelola, ekonomi dan nasib rakyat, termasuk mantan pengemudi Perbendaharaan Negara.

Keadaan Ekonomi Malaysia Saat Ini

Saudara saudari perwakilan,

Harga minyak dan minyak sawit melonjak naik dan mampu meningkatkan pendapatan negara dan memberi keselesaan kepada peladang sawit. Yang dimusykilkan adalah dana puluhan bilion ringgit dari Petronas untuk

menyelamatkan syarikat besar sejak Bank Bumiputera dulunya dan kini Sapura. Tetapi yang dihebahkan adalah subsidi harga minyak yang kononnya membebankan Petronas. Kita juga bersetuju dilaksanakan segera kaedah baru agar subsidi bersasar bagi mengelakkan subsidi kepada golongan kaya.

Malaysia adalah di antara negara pengeksport sawit terbesar dunia. Anehnya, minyak mentah buat rakyat makin terbatas dan harga melambung naik. Saya telah usulkan agar kerajaan menetapkan kuota sekitar 10 hingga 20 peratus untuk penjualan dalam negara. Kuota tersebut terhad kepada syarikat gergasi yang memonopoli hasil lebih setengah bilion ringgit setiap tahun. Kerajaan selanjutnya harus menetapkan kaedah pengagihan minyak dengan harga lebih murah kepada golongan miskin. Reaksi spontan dari pemimpin utama BN adalah menolak usul tersebut. Inilah yang saya maksudkan dengan kaitan elit politik dan syarikat atau konglomerat besar.

Walaupun aspek eksport hampir semuanya terancam, dari segi minyak sawit, jika kita tidak membaiki pengurusan lingkungan atau alam sekitar; nasib pekerja agar dapat menonjolkan negara sebagai negara hijau atau lestari yang mampan.

Jadi semua ini memerlukan tekad politik yang jelas, yang menjunjung hak asasi manusia, dan yang paling mustahak adalah ia memerlukan industri itu sendiri untuk memahami cara bekerjasama dan menterjemahkannya dalam bentuk pelaksanaan untuk menyelamatkan masa depan Malaysia.

Walaupun semua ini adalah perkara dari segi makro yang perlu kita perbaiki, tetapi ia hanya akan berlaku di bawah pemerintah yang wibawa, yang mampu menangani cabaran harga makanan dan inflasi.

Kita perlu memastikan subsidi ini lebih disasarkan dengan sistem yang lebih baik, dan yang lebih menekankan kepada perincian dan ketelusan dari segi proses. Laporan Ketua Audit Negara saban tahun mendedahkan permasalahan ketirisan dan kebocoran. Yakni dana yang diperuntukkan untuk petani dan nelayan miskin tetap dikebas oleh aparat di lapangan!

Belanjawan RM 300 bilion setahun merupakan jumlah besar. Kekhuatiran kita adalah kerana tiada ketelusan, proses tender dan pengagihan kontrak kepada kroni.

Sosio-Ekonomi

Subsidi perlu dirombak dengan sistem pembayaran asas yang lebih tuntas dan yang mencakup golongan isi rumah kelas B40. Malah sebahagian daripada subsidi ini boleh ditukar untuk mewujud dan mendukung tahap upah yang lebih tinggi.

Pengkelasan Kumpulan Ekonomi dan Kemiskinan

Pengkelasan kelas B40, M40 dan T20 telah lama tidak disemak. Kita menjadi terlalu ghairah mengkelaskan kumpulan masyarakat dan ini pastinya memberi dampak kepada cara kita mengurus subsidi dan program bantuan wang dengan kos yang keterlaluan mahal tapi tidak ada hasil yang jelas dan memuaskan.

Sebagai langkah ke depan, kita mesti menyemak semula pengkategorian B40, M40 dan T20 dengan pendekatan yang lebih tuntas dan menyeluruh - salah satunya adalah untuk meneliti dan menelaah kajian yang dibuat oleh Prof Fatimah Kari tentang "multidimensional poverty index". Kaedah tersebut menetapkan ukuran upah, pendidikan, perumahan, dan keselesaan seperti mana juga penilaian pembangunan ekonomi mampan (SEDA - Sustainable Economic Development Assessment).

Kerajaan tersasar dari mendepani cabaran masa depan termasuk ekonomi hijau, ladang biojisim dan perhutanan kayu lestari.

Peralihan kebijakan kepada neutral karbon boleh dicapai jika kita memperbaharui sektor tenaga untuk dijanakan oleh gas sepenuhnya. Permasalahan ekonomi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) mampu dijana melalui latihan dan pendedahan kepada generasi muda. Kaedah ini berbeda dengan perlumbaan membangun DNB dengan mengenepikan prinsip ketelusan.

Kecerdasan Buatan (‘Artificial Intelligence’, AI) akan memberikan kedua- dua peluang dan tantangan, tetapi kita berkemungkinan akan menjadi pengguna terawal dan bukannya pencipta. Justeru itu kita mesti mempersiapkan tenaga kerja kita untuk memainkan peranan sokongan dan penyelenggaraan untuk industri AI.

Memandangkan ada kepincangan berlarutan dalam aspek tadbir urus, kita harus mewujudkan dua peperiksaan perkhidmatan awam dengan menyusun semula pentadbiran untuk mewujudkan jabatan cawangan audit dan kawalan negara (berdasarkan model Taiwan) bagi menambahbaik institusi Parlimen, badan Eksekutif dan badan Kehakiman.

Kos Sara Hidup dan Jaminan Bekalan Makanan

Sudah sekian lama kerajaan membicarakan soal jaminan bekalan makanan, termasuk Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021 - 2025) dan Dasar Agromakanan Negara (2021 - 2030).

Namun, pelaksanaan kekal hambar - inflasi Malaysia, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (CPI), meningkat 2.8% pada Mei 2022 berbanding tahun sebelumnya dan kenaikan harga makanan sebanyak 5.2%, paras tertinggi sejak November 2011 dengan 93% barangan dalam kumpulan ini mencatatkan peningkatan (rujuk graf di bawah).

 

Sumber: Khazanah Research Institute

Ketidaksamaan pendapatan dan berkaitan corak perbelanjaan juga bermakna harga makanan yang lebih tinggi memberi kesan buruk kepada isi rumah yang lebih miskin disebabkan oleh perbezaan tahap pendapatan boleh guna.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), isi rumah B40 memperuntukkan 24.2 peratus daripada pendapatan mereka untuk makanan dan minuman berbanding isi rumah 40 Pertengahan pada 18 peratus dan isi rumah 20 teratas pada 12.6 peratus (rujuk graf di bawah).

Sebelum ke Parlimen tahun lalu, saya sempat menguak ke Kampung Kerinchi dan peniaga mengeluh tentang harga makanan. (gambar di skrin)

Oleh itu, langkah konkrit perlu diambil untuk negara meningkatkan keselamatan makanan. Di bawah adalah cadangan dasar yang perlu dipertimbangkan:

1. Aspek agromakanan (rujuk graf di bawah):

  1. Mendukung pemodenan dan pertanian pintar;
  2. Memperkukuh pasaran domestik, meningkatkan hasilkeluaran yang mempunyai permintaan tinggi dan produk

    berorientasikan eksport;

  3. Membangun bakat dan sumber manusia yang memenuhipermintaan industri;
  4. Meningkatkan amalan pertanian dan sistem makanan yangmampan; dan
  5. Menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif dankerangka institusi yang kukuh.

2. Aspek gaji
a. Kita mesti secara beransur menukar beberapa skim subsidi

pukal sedia ada kepada skim subsidi yang lebih bersasar dan juga untuk menyokong dasar pertumbuhan gaji yang lebih tinggi, untuk memastikan kadar inflasi tidak melebihi kadar pertumbuhan gaji.

Sumber: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH)

Saudara saudari perwakilan,

Sejak mula tegaknya wahana politik yang diberi nama Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ini, kita telah ada sejarah panjang bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

PAS di bawah pimpinan sahabat karib saya almarhum Ustaz Fadzil Noor, DAP di bawah kemudi saudara Lim Kit Siang serta KEADILAN yang diketuai Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah menggembleng kekuatan bersama barisan kumpulan masyarakat madani yang progresif bagi memungkinkan perubahan dalam keadaan saya yang sedang mendekam di penjara.

Walaupun dalam perjalanan yang getir itu terdapat sedikit pergeseran, kita bersama rakan-rakan terus komited dengan agenda perubahan. Imej Pakatan Harapan (PH) terjejas kerana pimpinan pada ketika itu tidak mewakili sosok reformis, malah bertindak mengekalkan beberapa ciri pemikiran lampau. Kini adalah masa yang ampuh untuk kita gilap semula bersama DAP di bawah saudara Anthony Loke, AMANAH yang dipimpin saudara Mohammad Sabu dan UPKO yang diketuai saudara Madius Tangau. Maka, sebarang bentuk kerjasama lain, terutama di pihak pembangkang mesti berteraskan prinsip-prinsip yang jelas, tidak semata ‘political expediency’.

Kerjasama lain diterokai tanpa mengabaikan prinsip-prinsip tatakelola yang baik, menolak dan melawan rasuah, menegakkan negara hukum serta badan kehakiman yang bebas dari pengaruh badan eksekutif.

Malah, atas prinsip-prinsip ini jugalah kami berikhtiar, serta atas prinsip- prinsip yang sama juga maka kami tidak bersedia untuk menggadaikannya untuk menghambat kuasa. Kerana prinsip-prinsip ini jugalah akhirnya ia menyukarkan laluan kita untuk mengembalikan mandat kepada PH. Kita telah diuji dan Alhamdulillah, kita kekal dengan prinsip dan tidak menggadaikannya. Ada yang menelah, kerana kita tidak berjaya dipilih selaku PM. Tetapi kini terbukti bahawa jawatan yang

hampir dalam genggaman terlepas kerana kita kekal dengan idealisme perjuangan menolak rasuah dan menjamin kebebasan badan kehakiman. Saya salut dengan semangat saudara-saudari dalam KEADILAN serta rakan-rakan PH. Usah ada yang melahirkan rasa gundah gulana dan kecewa. Malah kita lebih bersemangat lagi untuk mengembalikan mandat melalui PRU15. Tapi kita tetap yakin akan kesedaran rakyat yang kelihatan lebih peka dan cakna dengan syarat-syarat yang kita tawarkan dalam sebarang bentuk kerjasama politik.

Oleh yang demikian, ingin saya nyatakan di sini bahawa KEADILAN akan terus memperteguh hubungan serta kerjasama yang erat bersama rakan- rakan kita dari AMANAH, DAP dan UPKO dalam melangkah ke pilihanraya umum yang seterusnya sebagai satu kesatuan yang utuh serta sebagai wahana teras dalam membela nasib rakyat terbanyak.

Pencapaian Pakatan Harapan

Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berjaya meraih danmelaksanakan pelbagai inisiatif baik buat rakyat sebelum digulingkan para pengkhianat. Saya tidak menafikan kegusaran akar umbi tatkala menilai prestasi 22 bulan kerajaan PH. Sepertimana yang ditegaskan, pimpinan PH tidak mewakili suara reformis. Dan gerombolan pengkhianat muncul dan segar didukung dalang besar.

Kegagalan lebih tertumpu kepada kerjaya gerombolan tersebut. Kita harus lebih objektif menilai dengan adil aspek positif seumbangan rakan-rakan kita. Pendedahan kes rasuah skala besar termasuk 1MDB tidak mungkin berlaku tanpa PH. Begitu pula pendedahan oleh Saudara Mat Sabu mengenai kepincangan dan rasuah termasuk kontrak dan penjualan aset Kementerian Pertahanan.  Saudara Saifuddin Nasution selaku Menteri KPDNHEP telah berjaya mengawal harga barang dan meluncur Bank Makanan terutama untuk mahasiswa miskin. Ikhtiar membantu wanita dalam i-Suri, OKU, pesalah. seksual kanak-kanak berjaya diperkenalkan oleh Azizah. Kejayaan. saudara Anthony Loke di Kementerian Pengangkutan amat membanggakan dengan pas bulanan pengangkutan awam dan penjimatan kos serta pemutihan saman AES. Begitu juga prestasi negeri-negeri PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam menangani penularan wabak COVID-19 dengan bantuan kepada peniaga, pemandu teksi, pengusaha agensi pelancongan serta dasar kepedulian rakyat amat membanggakan.

Berikut adalah perincian pencapaian PH:

Saudara Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan

Saudara Saifuddin Nasution, Menteri KPDNHEP

Wan Azizah Wan Ismail, TPM & Menteri Pembangunan Wanita

Sosiobudaya dan Agama

Polemik bahasa dewasa ini kembali kepada naratif generasi merdeka 1950 an. Yang harus menjadi keutamaan adalah memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan dan mengangkatnya sebagai bahasa ilmu. Pemimpin Melayu telah memerintah lebih enam dekad lamanya, namun mutu dan penguasaan bahasa masih di tahap sederhana.

Walhasil, sekiranya kita serius tentang bahasa maka perlu memperkasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), memperhebat usaha terjemahan serta menyebar karya-karya besar terutamanya karya Sasterawan Negara. Maka, dengan keyakinan dan kesepakatan tentang Bahasa Malaysia, kita mampu mengangkat kedudukan Bahasa Inggeris, Cina, Arab dan Tamil dan bahasa suku kaum Sabah dan Sarawak.

Identiti Melayu, Agama Islam dan Kesatuan Antara Kaum

Asas penting dalam usaha melahirkan masyarakat madani dan mencipta peradaban mestilah dengan meraikan budaya kebangsaan sambil menambah ruang menyemarakkan kegiatan pelbagai budaya. Segala muslihat mengadu domba dengan mendabik dada sebagai jaguh bangsa tidak lebih dari helah mengalih pandangan dari isu pokok dalam negara.

Kita harus lebih bangga dengan pembinaan tamadun yang berteras kepada tradisi ilmu atau akhliah, akhlak dan integriti, meneroka alam pemikiran dan teknologi baru.

Demikian pula dengan perbahasan mengenai isu Islam. Kita tegas dengan prinsip da’wah bil hikmah, dengan tasamuh (toleran) dan kebijaksanaan. Persoalan-persoalan furu’ yang dibahas selama berabad juga terus diperbesarkan.

Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam ‘Al-Sahwat al-Islamiyyah bayn al-Juhud wa al-Tatarruf’ memberi amaran terhadap sikap ghuluw, yakni sikap melampau segolongan umat dan asatizah dalam beragama, yang jika tidak dibendung akan menetaskan kelahiran golongan pelampau. Gejala sempit dan literal yang tidak meraikan adat dan waqi’ (konteks) cenderung memberi gambaran yang keras (tashaddud) dan salah terhadap Islam.

Dalam sebuah hadith sahih riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda:

َھلَك المتَنَ ّطعو َن قالھا ثلاثًا َُُِ

“Telah binasa mereka yang melampau,” diulangnya (oleh Nabi) sebanyak tiga kali.”

Manakala Ibn Majah meriwayatkan sabda Nabi SAW:

إی َّاكم والغُل َّو في ال ِدّی ِن فإن َّھُ أ ْھلَ َك من كا َن قبلَكُ ُم الغل ُّو في ِال ِدّین

“Jauhilah oleh kalian sikap melampau (ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa orang-orang sebelum kalian disebabkan sikap melampau dalam agama.”

Perihal Sabah dan Sarawak

Isu Tuntutan Kesultanan Sulu, MoA Dengan Singapura dan Blok Minyak Di Sempadan Malaysia-Brunei

Pimpinan kerajaan seolah-oleh terpinga-terpinga mengenai isu tuntutan Kesultanan Sulu daripada Malaysia juga turut memprihatinkan kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara dan didakwa melanggar Perjanjian 1987 antara Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overback dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. Rakyat berhak tahu butiran tentang perjanjian ini, dan sejak bila Malaysia telah membayar ufti ataupun ‘tribute’ kepada Kesultanan Sulu, dan apakah benar ia dihentikan sejak tahun 2013.

Tindakan mereka untuk menuntut pampasan berjumlah AS$14.92 bilion (RM 62.59 bilion) dan merampas aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan adalah keterlaluan.

Isu ini meresahkan rakyat Sabah dan negara amnya. Kerajaan harus memberikan penjelasan secara telus dan bertindak tegas menanganinya.

Kisah Pendek Semasa Bertandang ke Kakus, Sarawak

Beberapa ketika dahulu, tatkala bertandang ke rumah panjang di Kakus, Sarawak, saya terharu mendengar suara kakak merayu memohon masalah tanah adat mereka di sekitar rumah panjang tersebut dibesarkan. Lebih mengharukan manakala keluarga mengeluh kerana gagal memeperolehi kad pengenalan yang akan menjejaskan peluang persekolahan mereka.

Sikap Masyarakat Terhadap Politik dan Kekuasaan

Ingin saya tegaskan di sini bahawa sistem politik kita memerlukan keterlibatan dan kebijaksanaan masyarakat dari semua peringkat. Sistem demokrasi yang kita tawarkan ini ternyata sebuah proses yang rumit dan riuh, dan adakalanya bisa membenih ketegangan. Tetapi, sekiranya kita terus tutup mata dan bungkam, maka watak-watak serigala di dalam politik akan terus bermaharajalela.

Pemerkasaan Kaum Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Pertubuhan wanita terus menggesa sepertimana juga suara dalam Kongres Wanita KEADILAN mengenai hak wanita dan kanak-kanak serta jaminan melaksana undang-undang yang lebih adil. Pemimpin parti di semua peringkat perlu mempastikan penyertaan minima 30 peratus tercapai. Dan terkait juga adalah kedudukan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah mencecah 15 peratus atau 4.8 juta walaupun jumlah yang berdaftar adalah terlalu rendah. Kita perlu memberi tumpuan terhadap masalah tersebut, menjamin diberikan keselesaan dan keadilan setimpal.

Permasalahan Orang Asli

Rungutan dan luahan yang disuarakan manakala saya menerima kunjungan wakil masyarakat Orang Asli dari Gua Musang, Bera, Gerik dan lain-lain. Demikianlah hal yang menyentuh kedudukan pribumi Sabah dan Sarawak serta Orang Asli akan disuarakan oleh lebih ramai Ahli-ahli Parlimen PH.

Penutup

Saudara saudari perwakilan yang dikasihi sekalian,

Pengalaman lalu yang perit harus mengajar dan mendewasakan kita seperti yang diulas mengenai pengkhianatan yang berlaku di zaman Kesultanan Melayu Melaka oleh Raja Mendeliar dan Si Kitol. Di antara mereka adalah penggerak reformasi tetapi tercicir idealisme kerana terpukau dengan kilauan harta dan kuasa. Ujian kuasa menewaskan mereka dan tidak silu mempamerkan kekayaan dan memperalatkan kuasa untuk membina kekuatan kabilah. Namun, yakinlah saudara- saudara sekalian, setelah beberapa purnama, mereka kelihatan bercempera, mengkhianati sama sendiri dan inshaAllah akan dihumban oleh para pengundi dalam pilihanraya umum nanti.

Kita bersedia untuk belajar dari pengalaman lalu yang perit, seperti yang saya pernah ulas tentang pengkhianatan yang berlaku di masa lalu. Justeru itu, selain menggilap idealisme kita harus waspada “eling lan waspada”

Kita harus kembali kepada landasan, memelihara soal akhlak dan integriti.

Gesaan Al Quran di dalam Surah Al Balad:

ثُ َّم َكا َن ِم َنال َِّذْی َن ٰاَمنُْوا َوتََوا َصْوا ِبال َّصْبِر َوتََوا َصْوا

27

ْۗ
ِبال َم ْر َح َم ِة

 

Menjulang KEADILAN bermaksud prinsip keadilan yang mesti menjangkaui faham kabilah, parti dan mesti kekal menjunjung idealisme dan cita-cita murni.

Di awal ucapan, saya telah singgung mengenai barisan pimpinan baru yang mewakili generasi kedua parti. Ini merupakan kejutan yang mampu mendamba perubahan yang lebih kencang. Mesej ini jelas, bahawa parti lebih bersedia mendempani cabaran semasa. Dan bersama Timbalan dan Naib-Naib Presiden, kita dapat bergerak sederap dengan lebih yakin menghadapi PRU15. Ketua AMK dan Wanita merupakan pimpinan termuda dalam mengemudi kedua pasukan.

Saya yakin inshaAllah, mereka mampu memberi nafas baru dan tarikan sebagai wadah muda gagah dan wanita berwibawa.

Selaku Presiden, saya akan pastikan saf kepimpinan, utuh, bersatu, menghormati adab berjemaah dan kekal inklusif - merangkul semua kekuatan parti sebagai gerakan rakyat.

Biduk lalu, kiambang bertaut. Memaknai dan menghayati idealisme perjuangan lebih sukar dari sekadar mengolah dan mengungkapkannya. Gesaan ini terpakai untuk semua peringkat pimpinan. Agenda reformasi dan perjuangan lebih besar dari Ketua Ranting, Ketua Cabang atau Presiden. Sejarah pengkhianatan dalam parti bermula dari bibit keangkuhan dan kabilah.

Dengan penuh yakin, InshaAllah kita mampu terjun ke medan bertarung dalam Pilihanraya dengan seluruh kekuatan.

Khittah yang berikrar untuk berjuang membela nasib rakyat pelbagai kaum, Cina dan India, suku kaum Sabah dan Sarawak. Tekad kita adalah

“Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan

untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.” (Surah Al

Balad: ayat 17)

menyelamatkan negara dan rakyat dari ketamakan pemimpin dan derita rakyat.

Sejenak lagi, gendang akan dipalu menandakan bermulanya pertarungan sengit dua raksasa - gerombolan yang ingin mengekalkan sistem yang berselaput dengan rasuah dan meminggirkan rakyat dengan saf yang bertekad meletakkan agenda menjulang keadilan bagi rakyat jelata.

Perjuangan menuntut kelahiran pahlawan dan pendekar yang cukup terlatih dan bijak lagi berhemah untuk ke gelanggang.

Jangan dihirau cicak mengkarung, Atau gangguan cengkerik di pinggir kali, Bertarung bagai pahlawan ulung, Menebus maruah ibu pertiwi

Izinkan saya menukil pantun yang dilakar ketika masih remaja dari Kem Tahanan Kemunting:

Kemunting di dalam pagar,

Mekar layu gugur sendiri;

Dengan helah pencak pendekar,

Takkan tergugat pahlawan sejati.

29

Related Posts
crossmenuchevron-up