Carian
May 17, 2020

Laut China Selatan: Apa Langkah Selepas Ismail Sabri Bercakap Dengan Rakan Sejawatnya dari China?

LAUT CHINA SELATAN: APA LANGKAH SELEPAS ISMAIL SABRI BERCAKAP DENGAN RAKAN SEJAWATNYA DARI CHINA?

 

Saya mengalu-alukan berita bahawa Menteri Pertahanan kita, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari China, Jeneral Wei Fenghei pada 15 Mei 2020.

 

Bernama melaporkan bahawa selain dari Covid-19, kedua-dua Menteri ini membincangkan cabaran pertahanan bersama, termasuk Laut China Selatan.

 

Tiga hari sebelum itu, Reuters melaporkan bahawa kapal gerudi West Capella yang dikendalikan Petronas telah meninggalkan perairan di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia. Kapal tersebut terlibat dalam insiden dengan kapal peninjau Haiyang Dizhi 8 dan kapal-kapal pengawal pantai dan militia China yang lain.

 

Walaupun kita lega kerana insiden itu nampaknya berakhir tanpa kejadian yang tidak diingini, ia masih menimbulkan persoalan yang merisaukan kerana insiden ini melibatkan kapal luar dengan kapal milik Petronas yang menjalani operasi di ZEE Malaysia.

 

Saya berharap agar kerajaan dapat menyatakan pendirian dan strateginya mengenai bagaimana mencegah pencerobohan ZEE kita daripada berlaku di masa hadapan.

 

Setelah beberapa orang termasuk mantan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Panglima Anifah Aman dan saya membangkitkan isu itu secara terbuka, akhirnya Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein menjawab dengan meminta 'ketenangan dan kestabilan' dan menegaskan kekurangan kenyataan awam bukan bermaksud kerajaan tidak mengusahakan penyelesaian.

 

Bertindak balas secara pasif terhadap insiden ini tanpa melakukan atau mengatakan sesuatu bukanlah pilihan untuk menangani isu ini.

 

China akan terus menuntut kawasan ini berdasarkan "nine-dashed line", tetapi Tribunal Antarabangsa di Hague telah putuskan tuntutan ini tidak berasas.

 

Walaupun hubungan yang erat, damai dan produktif dengan China adalah penting, kedaulatan dan integriti kawasan kita perlu dipertahankan - sama ada di darat, udara atau laut.

 

Penyelesaian pelbagai hala melalui ASEAN adalah jalan untuk kita bergerak ke hadapan. Walaupun terdapat beberapa anggota-anggota ASEAN mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan, kita ada banyak kepentingan bersama dalam mempertahankan orde berasaskan peraturan ("rules-based order") khususnya Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS).

 

NIK NAZMI NIK AHMAD

PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PERTAHANAN DAN HAL EHWAL DALAM NEGERI

AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Related Posts
crossmenuchevron-up