PERUTUSAN HARI GAWAI DAN TADAU KAAMATAN 2020
Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kembali disambut oleh sahabat-sahabat kita di negeri Sabah dan Sarawak pada tahun ini sebagai tanda menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan setelah tamatnya musim menuai padi dengan hasil yang lumayan.
Perayaan ini juga adalah sebahagian dari perencanaan baharu untuk musim yang akan datang.
Namun perayaan dan pesta teman-teman kita ini semestinya terkesan tatkala terhimpit dengan wabak Covid-19 yang terus menular, dan ini sedikit sebanyak merubah suasana perayaan pada tahun ini. Ia tidak hanya memberi tantangan sosial, malah juga ekonomi. Oleh yang demikian, saya menggesa kerajaan untuk tidak meminggirkan warga Sabah dan Sarawak dalam merancang kebijakan ekonomi pasca Covid-19.
Selain itu saya juga ingin mengajak semua untuk memahami dan tingkatkan usaha dalam mencari titik temu sesama warga di Malaysia, meski berlainan etnik, ras atau kaum. Pelbagai perayaan di Malaysia ini adalah nikmat kepada negara dan peluang bagi kita untuk mengenal antara satu dengan yang lain, dan bukan mencari titik perbalahan atau kebencian.
Justeru, KEADILAN berpandangan bahawa sebagai rakyat yang cintakan negara, kita semua haruslah memikul tanggungjawab dalam memastikan perpaduan terus diperteguh, kerukunan terus mekar dan demokrasi dimaknai sebaiknya.
Selamat menyambut Tadau Kaamatan dan Hari Gawai dengan ucapan Kotobian Tadao Tagazo do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada warga Sabah dan Sarawak yang meraikannya.
ANWAR IBRAHIM