Carian
October 22, 2020

Lanjutan Moratorium dan Perbaiki Komunikasi

KENYATAAN MEDIA

22 Oktober 2020

 

LANJUTKAN MORATORIUM DAN PERBAIKI KOMUNIKASI

 

Kita kini di minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang. Terdapat banyak kekeliruan terkait Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan bekerja dari rumah yang diumumkan Menteri berkaitan. Ini bukan bahan ketawa tatkala melibatkan atau mengesankan kehidupan jutaan rakyat di Lembah Klang.

 

Meski kita telah lapan bulan sejak diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, nampaknya kita masih belum jelas soal stategi kerajaan dalam menangani kemelut ini, dan tentang bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi. Tetapi apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung, termasuk amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan hukuman.

 

Arahan bekerja dari rumah baru baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa. Bagaimana keributan ini dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru? Perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua.

 

Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut. Ia tidak membina keyakinan, samada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.

 

Meski kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan, terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan. Menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000, iaitu sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang.

 

Saya mengulangi gesaan saya agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman. Langkah ini sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut ini, yang dijangka akan berpanjangan.

 

Kerajaan harus tonjolkan kepimpinan yang punya kualiti dengan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi. Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil, dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP. Adalah tidak mengejutkan tatkala kerajaan terus senyap terkait golongan berpendapatan rendah, kerana yang lebih diutamakan adalah syarikat-syarikat mega yang dekat dengan pundak kuasa.

 

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up