Carian
December 24, 2020

Hizwan Wajar Cermin Diri Sebelum Nasihat Pakatan Harapan

HIZWAN WAJAR CERMIN DIRI SEBELUM 'NASIHAT' PAKATAN HARAPAN

Merujuk kenyataan Setiausaha Politik Menteri KPKT, saudara Hizwan Ahmad yang mencadangkan agar Pembangkang memilih Ketua Pembangkang yang baharu, AMK berpandangan saudara Hizwan wajar cermin diri dan melihat kemelut dalaman Perikatan Nasional terlebih dahulu sebelum memberi nasihat songsang terhadap Pakatan Harapan.
Pertelingkahan dalaman Perikatan Nasional bukan lagi masalah yang boleh disembunyikan. Malah saudara Hizwan dan rakan-rakan PPBM wajar bermuhasabah dengan apa yang berlaku di Perak. Menteri Besar PPBM disingkirkan oleh UMNO dengan cara yang begitu memalukan dan akhirnya PPBM terpaksa menerima pula Menteri Besar baru daripada UMNO.
Di peringkat nasional pula, hingga ke hari ini Perdana Menteri masih gagal membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional memiliki majoriti yang kukuh apabila undi tertinggi yang boleh diperolehi semasa pengundian belanjawan yang lepas hanyalah sebanyak 111. Perdana Menteri dan PN juga dilihat tidak cukup jantan apabila tidak berani memberi ruang kepada usul Undi Tidak Percaya.
Pertelingkahan antara pemimpin Perikatan Nasional juga kelihatan jauh daripada selesai apabila UMNO dan PAS terus memilih untuk memperkuat Muafakat Nasional tanpa melibatkan PPBM. Keadaan ini membayangkan ketidaktentuan masa depan PPBM terutama menjelang proses agihan kerusi Pilihan Raya.
Lebih melucukan apabila saudara Hizwan cuba menuding jari terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca ketidakstabilan politik. Tuduhan saudara Hizwan ini ibarat cuba membaling najis ke langit yang akhirnya jatuh ke atas muka sendiri.
Pengkhianatan Sheraton yang disertai saudara Hizwan dan beberapa orang pembelot daripada Pakatan Harapan sebenarnya menjadi punca Malaysia jatuh ke dalam ketidakstabilan politik. Sejak pengkhianatan itu berlaku, keadaan politik Malaysia terus bercelaru apabila pemimpin Kerajaan lebih sibuk berpolitik berbanding memberi fokus terhadap pentadbiran. Hasilnya Firma Penarafan Antarabangsa Fitch Rating telah menurunan taraf ekonomi Malaysia daripada A- ke BBB+.
Justeru AMK ingin menasihati saudara Hizwan dan rakan-rakan sepengkhianatan beliau untuk cermin diri dan jangan cuba menutup kelemahan PN yang busuknya sudah tidak boleh disembunyikan lagi.
Berhentilah bermain politik murahan dan fokus harus diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.
Syukri Razab
Setiausaha AMK Malaysia
Related Posts
crossmenuchevron-up