Carian
February 26, 2021

KEADILAN Menggesa Khairy Umum Rancangan Pampasan Vaksinasi Secepat Mungkin

Memandangkan pendaftaran vaksinasi telah mencecah sejuta orang, saya menggesa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Khairy Jamaluddin untuk segerakan pengumuman rancangan pampasan vaksinasi untuk mengurangkan kekhuatiran rakyat untuk menerima vaksinasi.

Saya telah menerima suntikan dos pertama pada petang tadi dan saya berpendapat bahawa rancangan pampasan vaksinasi dapat menjamin bantuan kewangan bagi mereka yang masuk ke hospital atau cedera selepas menerima vaksinasi.

Kerajaan Singapura telah mengumumkan rancangan pampasan yang dinamakan ‘Vaccine Injury Financial Assistance Programme’. Bagi mereka yang dimasukkan ke wad Kecemasan selepas mendapat suntikan vaksin akan memperolehi pampasan sebanyak RM30,000 manakala bagi mereka yang meninggal dunia atau kehilangan upaya kekal akan mendapat pampasan sebanyak RM680,000.

KEADILAN telah beberapa kali memohon kepada Kerajaan untuk mengumumkan maklumat perinci berkenaan dengan rancangan pampasan vaksinasi tersebut tetapi sampai ke hari ini masih tidak diumumkan dengan alasannya masih dalam tahap perbincangan. Sekarang, program Vaksinasi telah bermula tetapi Kerajaan masih enggan mengumumkan sebarang maklumat berkenaan dengan rancangan pampasan tersebut.

Memang kesan sampingan yang disebabkan oleh vaksinasi adalah sangat rendah. Statistik antarabangsa menunjukkan bahawa hanya 1 hingga 2 penerima vaksin mengalami gejala anafilaksis dalam 100,000 penerima suntikan. Manakala, sehingga 27 Januari, hanya 3 dari 113,000 penerima vaksin di Singapura mengalami gejala anafilaksis.

Walaupun begitu, pengumuman rancangan pampasan vaksinasi tersebut adalah sangat penting. Ia dapat meningkatkan keyakinan rakyat dalam menerima vaksinasi dan menunjukkan bahawa Kerajaan sudi menanggung risiko tersebut bersama dengan rakyat.

Saya memohon agar Khairy dapat segera mengumumkan maklumat perinci berkenaan dengan rancangan pampasan tersebut agar boleh menggalakkan rakyat untuk mendaftarkan diri untuk menyertai vaksinasi melalui aplikasi Mysejahtera.
Sasaran Kerajaan kita adalah untuk memberi suntikan vaksin kepada 25.6 juta rakyat, walaupun 1 juta rakyat telah mendaftarkan diri, perjalanan ini masih jauh.

Saya mengucapkan penghargaan kepada barisan hadapan dan pegawai perubatan dalam proses vaksinasi ini. Saya juga berharap agar orang ramai dapat segerakan pendaftaran vaksinasi kerana tindakan tersebut penting bagi negara untuk memerangi wabak Covid-19.

YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up