Semalam, 3hb Mac, saya telah dikunjungi dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Dato’ Seri’. Dalam pertemuan itu, mereka menceritakan bagaimana saya telah melakukan kerja yang baik di Sekijang dan keinginan mereka untuk membantu saya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen.
Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut.
Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menolak tawaran mereka. Bagi saya, tiada erti mendapat manfaat apa sekalipun jika saya berpaling tadah dari perjuangan Reformasi dan melanggar sumpah yang telah saya lafaz apabila menjadi seorang Ahli Parlimen.
Saya telah melaporkan perkara ini kepada pucuk pimpinan KEADILAN. Ini kerana saya percaya usaha jahat untuk menawar habuan dan jawatan atau mendesak serta mengugut Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN serta pembangkang amnya terus berjalan. Jelas kerajaan minoriti hari ini bersedia melakukan apa sahaja, kecuali menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen segera.
Lawan tetap lawan!
YB Hjh Natrah Ismail
Ahli Parlimen Sekijang