Carian
March 10, 2021

Sambutan Hari Wanita Sedunia Yang Meruntun Hati Wanita Malaysia

Suasana menyambut Hari Wanita Sedunia dengan tema #MemilihUntukMencabar atau #ChooseToChallenge masih lagi segar, tetapi Wanita Malaysia khususnya dan rakyat Malaysia amnya kelmarin telah dikejutkan dengan berita yang benar-benar meruntun hati.

Seorang Wanita muda yg punya banyak potensi (dari tulisan-tulisan mereka yang akrab dengan beliau), telah dijumpai dipercayai terbunuh di kediaman sewaan beliau setelah beberapa hari dilaporkan hilang dan keretanya ditemui tersadai di Jalan Reko, Kajang, Selangor.

Beberapa hari sebelum itu di Bandar Penawar, Johor pula, seorang ibu muda juga ditemui mati dengan keadaan yang menyayat hati, ditanam dalam sebuah tong biru di sebuah ladang. Arwah dipercayai dibunuh ketika sedang tidor oleh suaminya yang diberitakan telah mengaku berbuat demikian, akibat cemburu kerana telah dijumpai surat mohon fasakh di rumah pasangan itu.

Kedua-dua kejadian belaku dirumah, tempat yang seharusnya seorang wanita merasa selamat dari segala bahaya apatah lagi dari suami yang sepatutnya memberi segala bentuk perlindungan kepada seorang yang bergelar isteri.

Tiada tindakan yang lebih mendesak dari Menteri mahupun Timbalan Menteri, yang menjaga kebajikan Wanita yang merupakan kumpulan terbesar dalam demografi negara ini. Situasi yang meragut nyawa ini tidak cukup hanya dengan melahirkan rasa simpati, ia menuntut kepada penyelesaian yang lebih jitu kerana undang-undang jenayah yang sedia ada hanya terlaksana apabila pembunuh dikenalpasti dan didapati bersalah.

Keselamatan dan nyawa walaupun seorang wanita tidak boleh dipertaruhkan hanya kerana ketidakcekapan Menteri yang menjaga kemaslahatan mereka. Dengan semangat Hari Wanita Sedunia ini saya #memilihuntukmencabar Menteri YB Rina Harun untuk mengemukakan jalan penyelesaian yang jauh lebih berkesan agar permaslaahan seperti ini dapat terus dibendung.

Dr.Zaliha Mustafa
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Pengerusi Biro Strategi, Dasar dan Latihan, MPWP
Parti Keadilan Rakyat
Mantan SU Politik Menteri KPWKM

Related Posts
crossmenuchevron-up