Carian
March 25, 2021

Masalah Keyakinan Memberi Kesan Ketara Pada Kadar Pelaburan Asing

Pengumuman oleh syarikat gergasi International Business Machines Corporation (IBM) bahawa ia akan menutup pusat operasinya di Cyberjaya pada 31 Mei baru-baru ini cukup membimbangkan, dan ini menambah kerisauan kita semua apakah perkembangan seperti ini akan terus bertambah dan semakin parah.

Pengumuman oleh IBM itu adalah selepas banyak pengumuman yang hampir sama oleh pelbagai syarikat gergasi yang sudah mula meninggalkan Malaysia, termasuk Hyundai dan Panasonic. Namun terdapat juga laporan yang mengatakan terdapat negara lain di rantau ini yang berjaya mendapat kadar pelaburan yang cukup memberangsangkan dari syarikat-syarikat berasaskan teknologi yang tersenarai dalam Fortune 500.

Kerajaan PN nampaknya berkelakuan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Menteri kanan yang bertanggungjawab soal pelaburan asing juga telah menyatakan bahawa Malaysia mampu untuk bersikap selektif, dan sedang berusaha untuk mendapatkan pelabur-pelabur besar sambil tidak mengendahkan para pelabur berskala kecil dan sederhana.

Situasi ini sangat memprihatinkan tatkala Malaysia terus kehilangan ribuan pekerjaan di sektor teknologi dan pembuatan kepada negara-negara tetangga di rantau Asean. Kita juga turut bimbang tentang nasib rakyat yang terkesan dengan langkah ini, dan apakah kerajaan PN punya keupayaan dan kemampuan untuk mendepani permasalahan ini.

Kita juga mendapati bahawa reaksi santai menteri bertanggungjawab itu hanya menonjolkan sikap pemerintah yang tidak faham realiti semasa yang dihadapi negara ini, dan ini dapat diringkaskan oleh laporan ini:

Laporan oleh United Nations Conference on Trade and Development (Unctad) pada bulan Januari 2021 yang lalu menyatakan bahawa kadar pelaburan asing (FDI) Malaysia merudum lebih dua pertiga kepada hanya $2.5 bilion pada tahun 2020, langsung menjadikan ia penurunan yang paling dahsyat di rantau Asia Tenggara.

Bulan Januari 2021 juga kita dikejutkan dengan komen oleh Ketua Pengarah Eksekutif EU-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUROCHAM) yang menyuarakan “kebimbangan terkait Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang ampuh”.

Kita juga digemparkan dengan semakan semula oleh agensi Fitch Ratings terkait Penarafan Kemungkinan Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ pada bulan Disember tahun lalu sambil menambah “ketidaktentuan politik susulan daripada perubahan dalam kerajaan pada bulan Mac lalu memberi tekanan kepada jangkaan dasar serta prospek penambahbaikan dalam piawaian tadbir urus”.

Setelah satu tahun berada di puncak kuasa, kerajaan PN masih gagal mendepani secara jujur persoalan terkait keberkesanan mereka sebagai kerajaan yang lemah tanpa mandat legislatif yang jelas. Pengisytiharan darurat dan tindakan menggantung Parlimen diandaikan oleh sektor swasta sebagai langkah terdesak untuk terus berpaut pada kuasa. Langkah darurat telah merobek keyakinan kepada kerajaan PN, kerangka kebijakannya serta komitmen pada tatakelola yang baik dan negara hukum.

Keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan PN menampakkan kecenderungannya pada kesepakatan tertutup dan rencana dalam gelap, di mana ia bertentangan dengan usaha dan upaya kita untuk menarik pelaburan dan membina keyakinan pada ekonomi.

Perencanaan pemerintah untuk meluncurkan pengedaran spektrum teknologi generasi kelima (5G) menerusi Syarikat Bertujuan Khas (SPV) adalah contoh yang tepat. Projek ini boleh dikatakan sebagai strategi digital utama kerajaan PN dengan jumlah RM15 bilion, tetapi tanpa penelitian, tanpa perundingan dengan industri, dan menjadi satu-satunya tatanan di dunia ini yang menggunapakai kaedah tersebut. Syarat perjanjian terkait projek 5G ini juga tidak jelas. Justeru, kita bimbang berapa banyak lagi pelabur yang akan meninggalkan Malaysia dan mencari destinasi pelaburan lain yang lebih selamat dan boleh dipercayai.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up