Carian
March 26, 2021

Adakan PRU Hanya Selepas Pelaksanaan UNDI 18

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengecam keras pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik pengundi ke 1 September 2022.

Ini jelas melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan bersejarah pada Julai 2019, bagi membolehkan warga negara berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.

Tindakan penangguhan ini secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia, dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka.

SPR mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas penangguhan ini yang merupakan satu kegagalan besar kerana melanggari Perlembagaan Malaysia. Penggantunggan Parlimen tidak harus disalahgunakan untuk membelakangkan Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya.

Kegagalan ini juga mencerminkan satu kelompongan SPR yang tidak bebas, menyalahi perjalanan proses perundangan dan betapa lemahnya dedikasi SPR terhadap semangat demokrasi itu sendiri.

Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak boleh mengelak dari turut bertanggungjawab di atas kegagalan besar ini yang mengundang kemarahan golongan muda yang menunggu peluang menggunakan hak mereka untuk mengundi.

Pakatan Harapan berpendirian bahawa Undi 18 mesti dilaksana seperti yang dijadual dan diumum di Parlimen oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyudin Hassan sebelum ini, iaitu Julai 2021.

Sekiranya jaminan dan janji Datuk Seri Takiyuddin tidak ditunaikan maka beliau harus letak jawatan dengan segera.

Pakatan Harapan juga berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak patut diadakan selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya.

Sekiranya PRU15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ianya akan menafikan suara 3.8 juta anak mudadan menjadi dosa terbesar Kerajaan Perikatan Nasional kepada generasi yang akan datang.

 

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

 

 

 

Related Posts
crossmenuchevron-up