Carian
April 29, 2021

Vaksin Ada Darjat

Ini kes vaksin dalam masyarakat Malaysia berkelas-kelas yang mengamalkan sistem dua darjat.

AstraZeneca nasibnya tak sama seperti Pfizer. 280000 dos AstraZeneca sampai ke Malaysia tidak disambut macam selebriti seperti ketika Pfizer sampai di KLIA. Ada liputan khas secara langsung televisyen. Dua menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan hadir menyambut Pfizer. Kemudian Pfizer dibawa dari lapangan terbang dengan outrider polis. Hebat layanan kepada Vaksin kelas bangsawan ini.

Manakala ketibaan AstraZeneca bukan sahaja tidak disambut oleh VIP tetapi ketibaannya di bumi Malaysia ini disangsikan.Sekarang dunia tanpa sempadan. Berita beberapa negara di dunia menolak AstraZeneca untuk rakyat mereka dapat dibaca oleh rakyat Malaysia melalui internet.

Dalam hal ini, saya angkat tabik hormat kepada Menteri Khairy Jamaludin yang peka terhadap kebimbangan rakyat terhadap tahap keselamatan AstraZeneca kepada penerima vaksin itu. Kata-kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa kemungkinan risiko AstraZeneca adalah kecil berbanding manfaatnya tidak mudah diterima oleh rakyat. Anak-anak Malaysia bangkit dan bangun mencabar. Mereka tidak akan benarkan ibu bapa mereka, datuk nenek mereka yang tua berumur lebih 60 tahun itu disuntik dengan vaksin AstraZeneca.

Akhirnya dua orang menteri yang bertanggungjawab dalam program vaksinasi kebangsaan iaitu Khairy Jamaludin dan Adham Baba terpaksa tunduk dan mengalah. Mereka akhirnya bersetuju bahawa vaksin AstraZeneca itu tidak dimasukkan dalam program vaksinisasi kebangsaan. Syabas kepada Khairy dan Adham kerana sedia mendengar protes rakyat. Jika berdegil dan keras kepala mungkin padahnya besar dalam pilihanraya tak lama lagi yang akan tiba.

Tetapi kenyataan menteri Khairy yang menyatakan dia tidak mahu AstraZeneca itu membazir sahaja kerana telah dibeli maka dicipta satu program yang bernama "first come, first serve". Maksudnya kerajaan menjemput rakyat yang sanggup tampil kedepan untuk menerima vaksin AstraZeneca itu secara sukarela. Sekali pandang agak menasabah pendekatan menteri Khairy ini, tetapi jika ditimbang-timbang dan dibuat dua kali pandang, cadangan menteri Khairy ini semacam memperjudikan nyawa rakyat secara sukarela mereka. Ada persamaan seperti perjudian nyawa tembak pistol di kepala sendiri secara “Russian Roullette”.

Tidakkah menteri Khairy menyedari bahawa terdapat Perkara 5(1) di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk hidup kepada rakyatnya? “ Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya kecuali mengikut undang-undang.”

Saya menghormati sikap berjimat cermat menteri Khairy Jamaludin yang tidak mahu Vaksin AstraZeneca 280000 dos itu terbuang membazir begitu sahaja. Vaksin itu dibeli dengan duit rakyat. Mungkin dari RM5 bilion yang diambil dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara yang kontroversi sekarang. Kerajaan sekarang sanggup membatalkan projek keretapi laju HSR dengan Singapura dan telah membayar sebanyak RM320 juta sebagai pampasan kepada republik itu.

Bayaran pampasan itu juga satu jenis pembaziran. Projek HSR tak dapat tetapi negara rugi RM320 juta, Tetapi tidak ada nyawa yang jadi pertaruhan dalam kes pembatalan projek HSR itu. Tidak sama dengan vaksin AstraZeneca ini. Negara Denmarak di Eropah pada hari ini tetap dengan keputusannya menolak vaksin AstraZeneca untuk rakyatnya.

Akhir kalam, AstraZeneca ini benar-benar menggambarkan cerminan masyarakat berkelas di Malaysia yang masih feudal.Vaksin pun ada kelas bangsawan dan kelas marhaen. Pfizer vaksin kelas bangsawan dan AstraZeneca vaksin kelas marhaen.Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan kepada semua rakyatnya tidak terpakai dalam program vaksinasi melawan Covid-19.

Falsafah Charles Darwin yang mengkaji teori evolusi dengan memperkenalkan konsep "natural selection" dan "survival for the fittest" nampaknya digunapakai dalam program vaksinasi di Malaysia. Menteri Kesihatan Adham Baba dengan cepat sebelum ini menyatakan vaksin AstraZeneca akan disuntik kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas. Kenyataan menteri itu mengundang tafsiran bahawa rakyat golongan tua yang telah bersara dan tidak produktif lagi dari segi ekonomi akan disuntik dengan vaksin yang berisiko.Tetapi menteri itu lupa, rakyat Malaysia apabila ditekan-tekan mereka akan bangkit.

Kini mereka bersuara lantang dan garang. Mereka menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan menentang keputusan Menteri Kesihatan Malaysia itu. Mereka tidak mahu ibu bapa, nenek dan datuk mereka yang tua itu, yang mereka sayang dan kasihi itu dijadikan tikus makmal atau guinea-pig untuk disuntik dengan vaksin AstraZeneca yang penuh kontroversi itu.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang

Related Posts
crossmenuchevron-up