Carian
May 21, 2021

Cadangan Permesyuaratan Ahli Parlimen DAN Adun Johor

Pakatan Harapan (PH) Johor menjunjung kasih dan menyokong titah DYMM Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar supaya diadakan satu permesyuaratan antara ahli-ahli Parlimen dan ADUN Johor. Kami juga menerima baik kenyataan Menteri Besar Dato’ Hasni Mohammad bahawa permesyuaratan tersebut akan diadakan pada minggu depan.

Kami percaya pendekatan dwipartisan dalam menangani wabak pandemik yang semakin meruncing adalah yang terbaik demi nyawa dan keadaan ekonomi rakyat.

Terdapat lima tuntutan mendesak yang perlu dibincangkan segera oleh mesyuarat bersama ahli parlimen dan ADUN Johor:

1. Melakukan ujian saringan secara besar-besaran
Dicadangkan agar Kerajaan Johor menjalankan saringan secara percuma bagi mengatasi penularan wabak yang serius dalam komuniti. Kerajaan Negeri Johor boleh menggerakkan hospital-hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki oleh Johor Corporation Bhd (JCorp) bagi mempergiat pemeriksaan Covid-19 supaya dapat menjejak jangkitan terutamanya antara mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom.
Penggunaan Antigen Rapid Testing (RTK-Ag) harus digalakkan. Pencegahan awal dapat membantu kita menganalisis situasi dengan lebih cermat dan mengurangkan kos dan kesan jika dibandingkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Perancangan vaksinasi Johor
Pendaftaran vaksinasi di Johor melalui aplikasi MySejahtera masih lagi rendah, iaitu sekitar 1.24 juta orang bersamaan 43.83 peratus berbanding 2.9 juta orang yang layak menerima vaksin.
Malah, jumlah rakyat Negeri Johor yang telah menerima vaksinasi juga kekal rendah pada kadar 4.38%. Mesyuarat dwipartisan Ahli Parlimen dan ADUN Johor perlu membahaskan perancangan untuk memperluaskan kempen kesedaran vaksinisasi kepada warga Johor dan mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan mereka yang layak.

3. Pakej bantuan kepada Bangsa Johor
Pakej rangsangan ekonomi tambahan perlu dibahaskan di negeri Johor bagi membantu mereka yang terkesan ketika perintah darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Bantuan ekonomi perlu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, Peniaga Kecil Sederhana (PKS), anak muda dan pekerja yang amat terkesan bahkan hilang pendapatan akibat PKP yang dilaksanakan kerajaan pusat.Wajar sekiranya kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan ADUN Johor membincangkan pelan ekonomi negeri ini dan menyemak semula Belanjawan 2021 Johor untuk memastikan ekonomi rakyat terus berdaya tahan dan boleh berkembang untuk satu tempoh jangka panjang khasnya ketika pandemik masih belum reda.

4. Perancangan pembukaan semula sempadan Johor – Singapura
PH Johor menyambut baik prosedur terkini yang membolehkan warganegara Malaysia yang merupakan pelajar sedia ada dan pemegang pas jangka panjang untuk keluar negara, terutamanya ke Singapura. Perbincangan mendalam mengenai perkara ini wajib diteruskan bagi memastikan Bangsa Johor dan anak Malaysia yang bekerja di seberang tambak dapat meneruskan keberlangsungan hidup.

Kerajaan Johor perlu mendesak agar kerajaan Malaysia - Singapura menyegerakan perancangan pembukaan sempadan selepas keadaan lebih stabil untuk memulihkan ekonomi negeri ini setelah kian lama terjejas akibat krisis wabak pandemik Covid-19.

5. Menamatkan perintah darurat
Dicadangkan agar mesyuarat ahli parlimen dan ADUN Johor membahaskan usul agar kerajaan negeri boleh mengambil langkah mendesak Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menamatkan darurat agar institusi demokrasi negara, Parlimen dan DUN dapat bersidang semula bagi membincangkan ekonomi rakyat dan negara.

Tiba masanya kerajaan persekutuan menerapkan tadbir urus yang inklusif secara dwipartisan dalam memerangi wabak pandemik bersama-sama kerajaan negeri, Ahli Parlimen, ADUN serta rakyat secara menyeluruh.

Sehubungan itu, PH Johor memohon YAB Menteri Besar mempertimbangkan agenda ini untuk dibahaskan dalam sebuah mesyuarat seperti yang dititahkan oleh DYMM Tuanku demi nyawa dan ekonomi rakyat, khasnya Bangsa Johor. Kita semua menginsafi dan bertekad untuk terus bersama-sama dalam menghadapi pandemik yang kian kritikal ini.

Tamat

YB AMINOLHUDA HASSAN
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor

YB SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor

YB LIEW CHIN TONG
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor

Related Posts
crossmenuchevron-up