Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa Kerajaan untuk mempertimbangkan perlaksanaan "strategi tunda dos kedua" untuk melawan isu penambahan kes COVID-19 yang mendadak dengan mengambil kira kekangan kekurangan bekalan vaksin.
Kes COVID-19 di negara telah mencapai tahap kritikal dengan hampir mencecah 20,000 kes baru dalam jangka masa tiga hari.
Keutamaan kami pada saat ini mestilah untuk melindungi bilangan maksimum rakyat dalam jangka masa yang singkat ini. Dengan mengakui kekurangan dos vaksin pada peringkat ini, rintangan ini boleh diatasi dengan menunda pemberian dos kedua. Strategi ini digunakan oleh United Kingdom pada bulan November 2020 dan semakin banyak negara melaksanakan strategi penundaan dos kedua termasuk Singapura dan India.
Penyelidikan terbaharu oleh University of Birmingham dengan kerjasama Public Health England mendapati bahawa pemberian Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat. Penyelidik dari Oxford University juga mendakwa pada bulan Februari bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu, tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda dibandingkan dengan normal.
Walaupun kerajaan telah berulang kali memberi jaminan bahawa Malaysia mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi, namun kelewatan pemberian vaksin menunjukkan sebaliknya. Terdapat kekurangan bekalan vaksin yang nyata dan kesannya ternyata melihat trend yang membimbangkan di seluruh negara. Oleh itu, kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari bahawa ada keperluan yang sangat mendesak untuk kita melaksana strategi yang terbukti secara saintifik ini.
Kami amat menyedari lagi merasai kekecewaan serta keresahan majoriti rakyat Malaysia kerana terpaksa menunggu untuk pengambilan vaksin langsung menghadapi risiko dijangkiti Covid-19 yang semakin tinggi. Kerajaan seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap dalam menanggapi perubahan pesat dalam situasi pandemik terkini.
Kami ingin meminta kerjasama rakyat Malaysia amnya untuk turut menggesa agar Kerajaan menggunapakai strategi baharu ini. Berdasarkan sains dan data, strategi ini telah terbukti berhasil. Oleh itu, Kerajaan wajib proaktif dalam meratifikasi strategi-strategi ini dan berhenti meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya.
YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara
(AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)