Di dalam kerancuan sistem pendidikan kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini, pelbagai isu berkaitan pendidikan dilihat gagal dikendalikan oleh pihak Menteri Kanan Pendidikan dan kedua-dua timbalannya menurut pendangan rakyat terbanyak. Keputusan yang sentiasa lewat diambil, sikap berdiam diri daripada banyak isu mendesak danjuga keangkuhan dari menjawab isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak-pihak berkepentingan menjadikan Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan sekarang ini diragukan kemampuannya untuk mencorakkan masa depan negara.
Pelbagai isu yang telah dibawakan oleh ahli-ahli parlimen, NGO dan para guru tidak dijawab dan dibiarkan tanpa jawapan. Namun, sebagai wakil rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk membawa kepentingan rakyat dan memastikan kerajaan yang ada menjalankan tanggungjawabnya secara sepatutnya, JK Pendidikan PH Bersama ahli parlimen-ahliparlimen di blok pembangkang mewakili parti masing-masing akan terus memastikan pihak kerajaan hari ini terus dipantau dan dipastikan menjalankan amanah yang mereka pikul demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Terdapat dua isu yang perlu dijawab oleh KPM yang diterajui oleh tiga watak utama, Menteri Kanan dan juga dua timbalannya:
1) Kontrak Perbekalan kandungan TV Pendidikan oleh Syarikat Swasta Sewaktu perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam telah membangkitkan isu status kandungan bagi rancangan TV pendidikan yang bernilai RM1.9 juta yang telah diberikan kepada sebuah syarikat yang tidak dapat disiapkan
oleh syarikat tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Dalam jawapannya, Menteri Kanan Pendidikan telah mengatakan bahawa tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 November 2020 kepada 31 Mac 2021 berikutan kegagalan
syarikat berkenaan menyiapkannya dalam tempoh tersebut. Persoalannya, apakah status pembuatan kandungan tersebut pada waktu ini? Apakah kesemua 800 kandungan tersebut telah selesai? Ataupun terpaksa ditangguhkan lagi? Jika benar, berapa lama kerajaan membenarkan penangguhan tersebut?
Jika ianya ditangguhkan lagi, apakah tindakan KPM atas kegagalan tersebut? Apakah mereka diberikan penalti?
Selain itu, berapakah bayaran yang telah dibuat pada syarikat penyedia kandungan setakat ini? Apakah masih tetap dengan nilai RM 1.9 juta juga?
Kesemua perkara ini kabur dan tidak mendapat penjelasan kerana tiada siding parlimen dan kerajaan tidak dipersoalkan dan bebas bertindak sewenangnya tanpa sikap tanggungjawab dan ketelusan yang sepatutnya.Kesemua ini dijustifikasikan atas nama darurat!
2) Kontrak penyiaran bahan pendidikan oleh DidikTV milik syarikat swasta Media Prima Umum tahu siaran DidikTV bermula di NTV7 pada 16 Februari 2021, dua hari sebelum sesi persekolahan bersemuka dimulakan.
Pada 1 Mei 2021, pemegangtaruh BSTP KPM tidak lagi melaksanakan sebarang rakaman dan Penerbitan Rancangan TV Pendidikan.
Semua telah diserah kepada DidikTV (NT7 Media Prima) secara rundingan terus di dalamdarurat oleh KPM pada kadar yang tidak dinyatakan. Umum ingin mengetahui, berapakah
nilai bayaran siaran airtime 17 jam sehari selama sebulan sehingga 3 tahun kepada DidikTV oleh KPM?
Sedangkan umum mengetahui, pihak KKMM melalui RTM pernah memberi laluan siaran TV Pendidikan secara slot airtime secara percuma, bahkan KKMM pada asalnya menwujudkan
saluran baharu TV6 sebagai TV Pendidikan (sekarang dijenamakan semula sebagai Retro TV) tetapi saluran ini telah ditolak oleh YB Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin.
Justeru, kami meminta KPM menjelaskan kepada rakyat:
Kenapa KPM tidak memilih RTM sebagai saluran TV Pendidikan sedangkan kaedah ini percuma dan mempunyai fasiliti yang cukup?
Apakah rasional dan keuntungan bagi rakyat dan KPM untuk membuat bayaran siaran kepada DidikTV pada saat kerajaan boleh menggunakan fasiliti siaran TV Kerajaan pada
saat darurat ini?
Berapa puluh jutakah nilai kontrak rundingan terus yang telah diberikan kepada Media Prima? Apakah benar ia melibatkan peruntukan sebanyak RM70 juta hanya bagi tahun
2021? Apa yang pasti umum bertanyakan juga mengapa sehingga kini kontrak belum ditandatangani lagi oleh pihak kerajaan dan DidikTV. Bolehkah KPM beri penjelasan
terperinci?
Apakah halatuju Pembangunan Kandungan TV Pendidikan? Apa yang pasti, maklumat daripada para guru menunjukkan bahawa pihak DidikTV menggunakan sumber guru-guru KPM dan silibus KPM. Bahan-bahan PdP program video siaran yang dihasilkan oleh DidikTV secara siaran langsung bersama guru-guru KPM ini diletakkan di platform digital Tonton milik Media Prima. Persoalannya siapakah yang memiliki hakcipta program-program tersebut? KPM atau pihak Media Prima?
Bukankah KPM mempunyai pelantar pembelajaran Delima dan EduwebTV (berdasarkan inisiatif KPM yang termasuk di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia PPPM
2013-2025), malangnya sehingga kini bahan-bahan tersebut tidak kelihatan di Delima dan EduwebTV?
Bukankah bahan video PdP hasil siaran DidikTV dan diusahakan oleh guru-guru dibayar oleh KPM? Kenapa video ini diletakkan di Tonton dan bukannya di Pelantar Delima dan
Portal EduwebTV?
Hakikat yang akan dihadapi oleh murid-murid ialah mode PdPR untuk PKP 3.0 akan bermula sejurus selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. Persoalannya, bagaimanakah murid-murid boleh mengakses bahan video PdP yang dihasilkan oleh DidikTV dan pembekalan video TV Pendidikan yang sepatutnya telah selesai dihasilkan oleh Radius One (sebanyak 800 video) sedangkan video-video ini masih belum dimuatnaik di platform pembelajaran Delima dan Portal EduwebTV?
Berapakah bilangan penonton DidikTV sehingga kini? Apakah berbaloi puluhan juta ringgit duit rakyat dilaburkan berbanding bilangan penggunanya?
Apa yang pasti semuanya kabur dan masih tidak jelas. Akhir sekali, kami ingin bertanya kemanakah hala tuju TV Pendidikan di bawah Menteri Pendidikan YB Datuk Dr. Radzi Jidin? Diharapkan pihak Menteri dan Timbalan-timbalannya tidak memperjudikan pendidikannegara dan masa depan anak-anak bangsa!
YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB DSP Wilfred Madius Tangau, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO)
YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA)
YB Dato’ Wira Amiruddin Hamzah, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG)
YB Ahmad Hassan, Parti Warisan Sabah (WARISAN)