Carian
June 6, 2021

Status Calon Peperiksaan SPM dan SPMV 2021

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan Parti-parti Pembangkang menggesa kerajaan persekutuan Perikatan Nasional memandang serius terhadap pengurusan peperiksaan SPM dan SPMV bagi tahun 2021 dan kesiap siagaan calon-calonnya.

Kegagalan Kementerian Pendidikan dalam pengurusan SPM 2020 telah menyebabkan tekanan mental dan fizikal yang tidak perlu kepada para pelajar, guru-guru dan ibu bapa.
Hal ini telah disuarakan oleh semua pihak samada melalui media arus perdana mahupun media sosial. Malangnya Menteri Kanan Pendidikan dan kedua-dua timbalannya tidak
mengendahkannya seperti kebiasaan malah memandang sepi terhadap keluh kesah dan penderitaan yang telah dialami oleh calon-calon tersebut, keluarga mereka dan juga warga guru.

Kegagalan yang seumpamanya itu tidak boleh diulang sama sekali bagi kumpulan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan SPMV pada tahun 2021 ini.

Mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang kali tanpa inisiatif untuk menghindarinya dan seterusnya memperbaiki keadaan adalah lambang kegagalan sesebuah kerajaan.
Sikap berdiam diri tanpa memperdulikan suara hati rakyat dan para pemegang taruh jugaBmerupakan tanda sebuah kerajaan yang gagal juga.

Kohort SPM 2021 merupakan kumpulan rintis pelajar yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan pada tahun 2017. Format SPM untuk kohort ini hanya diumumkan tahun lalu. Dengan pengenalan ciri-ciri baru tersebut ditambah pula sesi persekolahan yang terganggu dan tergendala berikutan pandemik Covid-19, para pelajar SPM 2021 akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar berbanding calon-calon SPM 2020 jika kerajaan persekutuan sekali lagi gagal dalam
menguruskan sesi peperiksaan ini.

Jika kegagalan Menteri Pendidikan dalam mengendalikan krisis SPM dan SPMV pada tahun lepas disebabkan tiada pengalaman memimpin sektor pendidikan dalam keadaan krisis
yang serba baharu, ia masih boleh diterima sebagai alasan. Walau bagaimanapun jika kegagalan itu masih diulangi untuk tahun ini dengan segala kelembapan di dalam membuat keputusan, Menteri, kedua timbalannya dan kerajaan persekutuan sudah tidak ada lagi alasan pada tahun ini.

Jawatankuasa ini menggesa agar Kementerian Pendidikan melalui Menteri Kanan dan kedua timbalannya segera tampil untuk membuat pengumuman awal berkaitan SPM dan
SPMV 2021 demi kebaikan semua pihak, terutamanya para calon. Logiknya, jika jadual tradisi masih digunapakai, para pelajar hanya mempunyai masa lebih kurang lima bulan
untuk membuat persiapan, dan ini amat meresahkan semua pihak yang terlibat.

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan

YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP)

YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Natrah binti Ismail, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Steven Sim Chee Keong, Democratic Action Party (DAP)

YB DSP Wilfred Madius Tangau, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO)

YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA)

YB Dato’ Wira Amiruddin Hamzah, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG)

YB Ahmad Hassan, Parti Warisan Sabah (WARISAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up