Kami meneliti ‘pelan’ yang dibentang Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin petang semalam. Walau bagaimanapun, kami sangat terkejut apabila mendapati bahawa ianya hanyalah siri fasa tanpa strategi yang lengkap mahupun langkah-langkah yang jelas, bersepadu dan menyeluruh untuk mengatasi pandemik COVID-19, memberi
bantuan secukupnya kepada Rakyat serta syarikat-syarikat yang sedang menderita, memulihkan ekonomi, dan menyegerakan kebangkitan semula Malaysia. Ia bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik COVID-19.
Malah lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini.
Oleh itu, kami berpandangan Perdana Menteri telah mempersembahkan satu ‘pelan’ tanpa apa-apa pelan yang sebenar. Ini adalah satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalih pandangan Rakyat dari keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah, dan gagal berkali-kali untuk mengawal pandemik ini dengan baik.
Jika diikut juga ‘pelan’ ini, akhirnya yang akan dipersalah dan menjadi mangsa sekiranya pandemik tidak dapat dikawal adalah Rakyat.
YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)