Carian
February 3, 2022

Mungkir Janji Yang Memakan Diri Sendiri

Hampir seluruh rakyat Malaysia yang dewasa menyedari bahawa menjelang Pilihanraya Umum ke-14, pada 9 Mei 2018 terdapat satu janji nasional yang telah diikrar.

Jika Pakatan Harapan (PH) menang PRU-14, maka Tun Dr Mahathir Mohamad akan jadi Perdana Menteri sementara. Kemudian Mahathir akan serahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim.

Tetapi janji ini telah dimungkiri oleh Mahathir sendiri. Maka, apa balasannya?

Orang kanan Mahathir ketika itu, iaitu Muhyiddin Yassin telah membawa Parti BERSATU keluar daripada PH dan kemudian Mahyuddin Yassin memecat Mahathir dari BERSATU. Muhyiddin telah tumbangkan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Muhyiddin yang menjadi Presiden BERSATU dan bersama dalam PH ketika menumbangkan Umno dan BN dalam PRU-14 adalah pihak yang terlibat dan bersetuju dalam janji supaya Mahathir selaku Perdana Menteri sementara akan serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Tetapi setelah Mahathir tumbang, kemudian Muhyiddin juga mungkir janji. Muhyiddin rampas jawatan Perdana Menteri dari Mahathir untuk dirinya sendiri jadi Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.

Apakah balasan perbuatan Muhyiddin yang mungkir janji itu?

Muhyiddin tidak kekal lama sebagai Perdana Menteri. Hanya setahun lebih sahaja iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP di mana rakyat terkurung, Parlimen digantung dan Darurat diisytiharkan di seluruh negara.

Kemudian sampai masa giliran Muhyiddin pula ditumbangkan. Kini giliran UMNO pula menggulingkan Muhyiddin. 15 orang Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin di Parlimen.

Muhyiddin terpaksa letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin runtuh seperti daun terup menyembah ke bumi.

Demikianlah pengajaran kepada Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Anda berdua telah memungkiri janji kepada rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan satu ketika dahulu. Tindakan politik anda yang tidak beretika dan tidak setia berjanji telah menyebabkan legasi politik anda dihumban ke bakul sampah sejarah (to the dustbin of history) seperti kata Leon Trotsky.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang

Related Posts
crossmenuchevron-up