Carian
February 10, 2022

Hentikan Pemberian AP Pengimportan Ayam Bulat

Hari ini, kita meraikan kemenangan para penternak ayam kerana, Kerajaan Ismail Sabri akhirnya terpaksa tunduk kepada permintaan para penternak dengan mengumumkan subsidi pengeluaran RM0.60 sekilo selama 4 bulan untuk para penternak.

Cadangan subsidi pengeluaran (output based subsidies) ini telah disarankan oleh Parti KEADILAN sejak 2hb Disember 2021 dan sekali lagi pada 5hb Feruari 2022.

Dengan adanya subsidi sedemikian, para penternak dijangka boleh mula meningkatkan pengeluaran dan dapat memenuhi permintaan pasaran ayam dalam 30 hari akan datang.

Dengan berakhirnya Tahun Baru Cina, maka permintaan ayam tidak lagi meruncing. Dan kita jangkakan harga ayam akan kembali stabil.

Maka, tiada keperluan untuk memberi Approved Permits untuk mengimport ayam bulat dari luar negara.

Maka, Parti KEADILAN ingin mendesak kerajaan menghentikan langkah memberi AP kepada syarikat untuk mengimport ayam bulat.

Sikap "import lebih mudah" ini menyebabkan kebergantungan kepada negara luar dan menjejaskan sekuriti makanan negara dan akhirnya menyebabkan industri pertanian negara kita tidak berkembang maju.

Pengimportan makanan merugikan negara. Pengimportan makanan negara mencecah RM55 bilion setahun dan menyebabkan pengaliran mata wang ke luar negara.

Pemberian AP juga membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan cepat kaya. Sistem AP selalunya mewujudkan kumpulan "rent seekers" yang mempunyai jalinan politik.

Selama ini, kerajaan tidak berupaya menghapuskan kumpulan rent seekers ini. Kerajaan tidak harus mewujudkan rent seekers yang baru dalam pemberian AP ayam bulat.

Sim Tze Tzin
MP Bayan Baru
Jurucakap Pertanian dan Komoditi Parti KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up