Carian
March 16, 2022

Keputusan PRN Johor Dan Persiapan Menuju PRU15

Majlis Presiden Pakatan Harapan menerima keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi Pakatan Harapan berhubung isu-isu semasa yang telah menyebabkan Pakatan Harapan memenangi 12 kerusi.

Pakatan Harapan akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh. Oleh demikian, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan Pakatan Harapan untuk menggilap semula idealisme perjuangan Pakatan Harapan dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15.

Pakatan Harapan juga akan berusaha merangkul seluruh kekuatan yang sedia menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang agar dapat bersama dalam usaha menolak Barisan Nasional. Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan Pakatan Harapan yang akan mengurangkan undi Pakatan Harapan lalu secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional.

Kami terus bertekad menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik COVID-19 termasuk isu SOP dan kompaun pelanggaran, kenaikan tarif elektrik untuk perniagaan, tambahan cukai, serta kehimpitan hidup rakyat. Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urustadbir yang pincang.

Majlis Presiden turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini sepertimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri. Pimpinan utama Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up