Carian
March 17, 2022

Penggunaan Getah Beku Sebagai Bahan Tambah Dalam Turapan Jalan

1. Saya ingin merujuk kepada jawapan Menteri Kerja Raya dalam menjawab soalan lisan dalam Parlimen hari ini, PR-1451-L14213, berkenaan cadangan menggunakan teknologi serta bahan yang lebih murah dan berkualiti terhadap jalan-jalan di perkampungan Orang Asli di seluruh Malaysia.

2. Saya berpeluang membuat soalan tambahan saya dan membangkitkan sejauh manakah pihak Kementerian dalam mengenengahkan penggunaan getah beku sebagai bahan tambah untuk dijadikan sebagai turapan jalan kerana melalui kajian yang dilakukan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) pada Jun 2015 yang lalu, ternyata penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (Cuplump Modified Asphalt – CMA) ini bukan sahaja tahan lasak bahkan menguntungkan dari sudut penyelenggaraan kerana ia dianggap ‘free maintenance’.

4. Meskipun penggunaan getah beku ini mungkin akan mengambil kos yang agak tinggi sekitar 15% di awal penggunaannya namun ia tetap memberikan keuntungan dalam jangka masa panjang kerana ia mampu menjimatkan kos penyelenggaraan dengan anggaran RM25,000 bagi setiap kilometer. Selain dari itu, usaha ini mampu memperluaskan penggunaan getah beku sebagai salah satu bahan komoditi tempatan penting negara.

5. Berdasarkan kajian oleh Lembaga Getah Malaysia(LGM), sebanyak 4.2 tan getah beku diperlukan untuk turapan satu (1) kilometer jalan dan ini juga akan mensasarkan peningkatan penggunaan domestik getah sebanyak 10% setahun. Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2019 untuk pembangunan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) dan 59 lokasi telah mendapat manfaat dengan pembinaan turapan jalan Cuplump Modified Asphalt(CMA) sebanyak 202.68 km.

6. Justeru, saya sangat menyokong jika Kementerian berusaha untuk mengenengahkan penggunaan getah beku secara meluas dalam turapan jalan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Saya yakin penggunaan getah beku ini bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah kerosakan yang berulang kerana kelebihannya yang tahan lasak (durability), tahan gelinciran dan pemanduan yang lebih selesa disamping mampu menstabilkan harga getah yang secara tidak langsung akan membantu lebih 400 ribu penoreh getah di negara ini.

Nor Azrina Surip @ Nurin Aina
Ahli Parlimen Merbok

Related Posts
crossmenuchevron-up