1.Pemilihan KEADILAN 2022 kini semakin rancak dalam fasa pertama proses pemilihan di mana anggota parti digalakkan untuk memuat turun Aplikasi ADIL yang telah pun dilancarkan secara rasmi oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden pada 4hb Mac yang lepas dan diminta mengemaskini daftar keanggotaan serta memberi persetujuan untuk menjadi Pemilih Atas Talian (PAT).
2.Namun, lumrahnya dalam mana-mana pertandingan, mereka yang menawarkan diri sebagai bakal pimpinan parti untuk tiga tahun akan datang telah pun memberi indikasi bahawa mereka akan bertanding pada pemilihan kali ini. Penyokong masing-masing pula kini sibuk mempromosikan pimpinan pilihan mereka dalam pelbagai cara dan pelbagai platform media.
3.Adalah diperingatkan bahawa kempen secara rasmi hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan pada 8hb April 2022 dan Jawatankuasa Pemilihan Parti akan memantau secara dekat sebarang bentuk kempen kepada semua calon tanpa prejudis dan akan bertindak mengikut Peraturan dan Tatacara Pemilihan serta Tataetika Kempen yang telah dibentangkan, didokumenkan dan dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
4.JPP tidak bertanggungjawab terhadap kempen yang telah bermula pada masa kini walaupun ianya di luar waktu kempen rasmi tetapi memohon supaya bakal-bakal calon dan penyokong masing-masing menjaga tatasusila, mengelak dari kempen yang tidak beretika, seperti menyelar peribadi calon atau mengeluarkan kata-kata kesat atau menggunakan perkataan tidak sopan kepada mana-mana anggota, penyokong atau manamana pimpinan yang berhasrat bertanding.
5.Saya yakin semua anggota adalah insan dewasa serta matang, yang sayang kepada parti dan mahu ianya menjadi suatu organisasi yang bakal hadir sebagai pasukan KEADILAN yang perkasa dan terus mendapat sokongan rakyat dalam berdepan dengan Pilihan Raya Umum yang ke-15, walaupun Perdana Menteri, Ismail Sabri masih berdolak dalih tentang tarikh sebenar, ia di jangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.
DR. ZALIHA MUSTAFA
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti
Parti Keadilan Rakyat