Carian
June 22, 2022

Kerajaan Mesti Umum Langkah Tangani Isu Subsidi Dan Kos Sara Hidup Dalam Masa 24Jam

Majlis Presiden Pakatan Harapan amat risau dengan perkembangan mutakhir isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam bahawa subsidi bagi minyak masak tulen berbotol, serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.

Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik COVID-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat.

Pada ketika ini, Kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini. Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda.

Ini bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab. Ketua Pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.

Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para Menteri dalam menangani masalah kos sara hidup.

Oleh itu, Kerajaan mesti mengumumkan sepenuhnya pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup ini dalam masa 24 jam. Sekiranya gagal, Menteri-Menteri yang bertanggungjawab dalam isu kos sara hidup juga wajib meletakkan jawatan.

Pakatan Harapan juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up