Carian
July 9, 2022

Kos Sara Hidup: Kerajaan Harus Tegas Memerangi Kartel

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN yang telah bermesyuarat pada 6 Julai 2022 turut membincangkan tentang krisis kos sara hidup yang meruncing akhir-akhir ini.

Meskipun fenomena kenaikan kos sara hidup berlaku di seluruh dunia di atas pelbagai faktor, namun tindakan setiap negara memainkan peranan untuk meringankan kesan tersebut terutamanya untuk golongan miskin dan sederhana.

MPP menganggap tindakan membakar sentimen menjadikan pekerja asing sebagai kambing hitam atau menubuhkan Pasukan Khas Tangani Jihad adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan yang terdesak untuk memenangi hati rakyat.

Sebaliknya, kerajaan wajib mengambil tindakan lebih tegas dengan memerangi kartel-kartel yang mempunyai kuasa besar di dalam menentukan harga barangan asas di negara. Malangnya Suruhanjaya Persaingan (MyCC) tidak diberikan sumber dan kuasa secukupnya untuk memecahkan monopoli dan kartel di dalam negara.

Kerajaan juga harus memperluaskan program-program bantuan rakyat dan insentif cukai secara bersasar, bukan untuk golongan B40 semata-mata, tetapi untuk golongan sederhana juga yang terkesan dengan krisis kos sara hidup tetapi tidak layak mendapat banyak bantuan daripada kerajaan.

MPP merasakan masanya sudah tiba untuk Kerajaan melihat mekanisme gaji wajar (living wage) yang pernah dicadangkan oleh Bank Negara pada 2017 sebagai satu mekanisme nilai tambah kepada gaji minima untuk menggalakkan kenaikan gaji secara lebih saksama dan realistik mengikut kos sara hidup setempat.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up