Carian
July 22, 2022

Pindaan Akta 134, Akta Orang Asli 1954

Saya merujuk laporan Malaysiakini dan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Penghulu di Cheras pada 21hb Julai 2022.

Kenyataan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar bahawa KPLB akan memulakan kajian pindaan Akta 134 mulai akhir tahun 2022 dan akan diselesaikan pada tahun 2025 adalah sangat dikesali. Ia ibarat luka lama yang tidak diubati kepada Masyarakat Orang Asli. Pada masa kini lebih banyak permasalahan yang dihadapi Orang Asli yang memerlukan tindakan segera. Seperti pencerobohan tanah, isu pampasan tanah, status Orang Asli dan sebagainya.

Pindaan Akta 134 sudah sekian lama dibincangkan dan draf cadangan juga telah disiapkan hasil konsultasi diantara Masyarakat Orang Asli, Majlis Peguam dan NGO-NGO Orang Asli. Kenapa pihak menteri perlu menunggu sampai 4 tahun? Dalam pada itu juga, sejak tahun 2001 dan pada tahun 2010 kerajaan telah berjanji akan membawa ke parlimen pindaan Akta 134.

Semasa Pakatan Harapan di Putrajaya pihak JAKOA telah memasukan Akta 134 dalam senarai untuk pindaan. Menteri yang bertanggungjawab juga telah mengadakan perbincangan dan hasilnya diserahkan kepada Menteri di Jabatan Menteri.

Saya menggesa agar menteri dapat mengkaji semula draf pindaan tersebut dengan kadar segera dan membawa ke parlimen paling lewat tahun hadapan.

Bob Manolan Mohamad
Mantan Senator Orang Asli

Related Posts
crossmenuchevron-up