Walaupun berlagak popular, bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak nampak bimbang dengan susunan semula kepimpinan parti-parti Pakatan Harapan. Kebelakangan ini, terutamanya selepas selesainya pemilihan barisan kepimpinan baru KEADILAN, jentera penerangan UMNO nampak ditumpukan untuk menyerang saya dan KEADILAN/Pakatan Harapan.
Terbaru, semasa berucap di Konvensyen BN Selangor, berulang kali dia menumpukan ucapannya mengenai saya, termasuk mengungkit kononnya saya “berminat” kepadanya.
Sementara lagak Najib sudah diketahui umum dan ada segelintir masyarakat yang berpendapat lagaknya wajar diabaikan, saya memilih untuk berdepan dengan sarkas politik mainan Najib kerana ada isu pokok yang cuba disembunyikan Najib.
Hakikatnya, Najib telah bersalah menyeleweng dana rakyat yang kesannya akan ditanggung oleh rakyat untuk jangka masa berpuluh tahun akan datang. Selain tanggungan hutang 1MDB berjumlah RM50 bilion, projek-projek mega yang kosnya naik berkali ganda (seperti MRT, LRT3, ECRL dan sebagainya) membebankan rakyat dengan hutang melebihi RM100 bilion dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang.
Najib telah menggunakan sumber kewangannya untuk menggerakkan kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan dirinya seolah-olah dia tidak bersalah.
Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib. Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti hakim Yang Arif Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah.
Oleh itu, saya menyeru keseluruhan pimpinan KEADILAN/Pakatan Harapan di segenap lapisan terus menjawab untuk mematikan propaganda Najib yang merosakkan pemikiran rakyat.
Sementara kita membentangkan idea-idea untuk memperbaiki kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, kita juga wajib menunjukkan bahawa sebahagian besar dari masalah rakyat ini berpunca dari salah tadbir sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri.
Keupayaan pimpinan KEADILAN/Pakatan Harapan mengutarakan kedua-dua perkara ini (memberi idea penyelesaian dan mematahkan propaganda Najib) secara serentak adalah kunci kemenangan KEADILAN/Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum akan datang.
Misalnya, adalah satu kebodohan jika kita membiarkan Najib dan konco-konconya memperlekehkan kewibawaan seorang anak Malaysia terbilang seperti YA Dato’ Mohd Nazlan. Beliau seorang yang pintar lulusan University of Oxford dan mempunyai rekod kerjaya yang menjadi kebanggaan negara. Beliau juga tidak gentar dengan asakan politik dan sanggup berdepan dengan mainan propaganda Najib.
Bandingkan dengan Najib yang rekod akademik dan kerjayanya hanyalah sebagai seorang bangsawan yang tidak pernah ada pencapaian baik selain yang datang dari kedudukannya sebagai seorang bangsawan.
Jika ada anak Melayu yang wajar menjadi kebanggaan dan inspirasi generasi muda Melayu, tokoh seperti YA Dato’ Mohd Nazlan inilah yang perlu kita angkat.
Sebaliknya, propaganda Najib dengan tanpa segan silu, sementara memainkan isu perkauman, dia juga menghina dan memperkecilkan tokoh-tokoh seperti YA Dato’ Mohd Nazlan demi untuk menyelamatkan dirinya yang semakin dekat dengan hari penghakiman.
Sebab itu, telatah Najib tidak lebih dari seorang yang perasan dan merasa takut pada masa yang sama.
Saya tidak berminat dengan Najib.
Sebagai pimpinan utama parti-parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib. Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini telah menjatuhkan Najib dalam PRU14 dalam tahun 2018. Dengan konsistensi yang sama, lebih ramai rakyat yang akan menolak UMNO/Barisan Nasional akibat penyelewengan-penyelewengan Najib yang terus membebankan UMNO/Barisan Nasional.
Minat sebenar saya ialah untuk memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara.
Secara langsung, ini akan membela dan mengangkat tokoh-tokoh seperti YA Dato’ Mohd Nazlan, yang nilai profesionalisme dan patriotisme mereka perlu menjadi kompas moral baru kepada generasi muda Malaysia.
RAFIZI RAMLI