Carian
September 14, 2022

Tengku Zafrul Tumpang Gembira Pengeksport, Lupa Majoriti Rakyat Susah

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul menyangkah suara rakyat (termasuk saya) yang bimbang akan penurunan nilai mata wang Ringgit dan mendakwa ada pihak yang cuba mempolitikkan semua perkara untuk mencetuskan polemik.

Sekarang saya tidak pasti siapa yang cuba mempolitikkan isu ini. Ringgit sudah jatuh ke satu paras yang tidak pernah dilihat dalam tempoh 24 tahun. Lebih-lebih lagi, tren penurunan ini sudah berterusan selama 20 tahun berbanding dengan mata wang utama yang lain. Bukankah keraguan rakyat ini wajar dan memerlukan penjelasan atas punca tersebut serta mengemukakan jalan penyelesaian?

Malangnya Tengku Zafrul hanya tertumpu kepada beberapa petunjuk ekonomi terkini yang positif, tetapi tidak memperjelaskan masalah struktur ekonomi yang kian lemah, sebab kehidupan rakyat kita sekarang jauh lebih susah berbanding dengan 20 tahun yang lepas, dan mengapakah graduan kita tidak mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dengan usaha mereka.

Tengku Zafrul turut beranggapan bahawa pengeksport-pengeksport besar gembira dengan penururan Ringgit kerana kononnya barangan mereka jadi lebih kompetitif. Memang masuk akal bahawa beliau yang rapat dengan dunia korporat tumpang “happy” dengan pengeksport-pengeksport besar, tetapi beliau lupa bahawa jutaan rakyat yang terpaksa menanggung kos makanan yang makin tinggi. Pada bulan Ogos 2022, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjangka nilai import makanan Malaysia akan naik lebih tinggi tahun ini (1). Dalam keadaan Ringgit makin menguncup, hampir pasti susu, tepung gandum, daging lembu, bahkan ubi kentang akan menjadi lebih mahal buat rakyat biasa.

Dalam hal ini Tengku Zafrul juga cuba mengelirukan rakyat. Kalau kejatuhan nilai mata wang sesebuah negara adalah sesuatu yang baik, sepatutnya si pengeksport di Sri Lanka, Zimbabwe dan Sudan Selatan menjadi orang yang paling gembira di dunia ini!

Tapi tentunya mereka tidak gembira sangat. Ini adalah kerana pertama, pengeksport perlu membeli barangan input untuk diproses dengan harga yang lebih tinggi. Misalannya kilang yang menghasilkan TV di Malaysia perlu membeli chip computer dan skrin dari negara luar dengan US Dollar. Maka keuntungan mereka juga terjejas.
Kedua, pekerja asing yang berkemahiran tinggi akan meminta kenaikan gaji ataupun mereka akan meninggalkan Malaysia kerana gaji mereka makin mengecil. Kelemahan Ringgit tidak membantu kita untuk menarik dan menyimpan bakat-bakat rakyat Malaysia dan luar negara. Ketiga, kelemahan dan kemerosotan nilai mata wang secara berterusan akan menghalau pelaburan asing. Siapakah yang berminat untuk datang ke Malaysia sekiranya aset mereka makin mengecil saban tahun? Perkara yang berlaku di Sri Lanka, Zimbabwe dan Sudan harus dijadikan ikhtibar pemimpin Malaysia, dan bukan sesuatu yang dibangga-banggakan.

Memandangkan Tengku Zafrul banyak mempunyai masa untuk membuat video tiktok, saya mencabar beliau supaya memberikan penjelasan atas tiga soalan di bawah:
1.Adakah kejatuhan nilai mata wang Ringgit baik untuk majoriti rakyat?
2.Mengapakah Ringgit merosot sepanjang 20 tahun ini secara berterusan, berbanding dengan nilai mata wang utama yang lain?
3.Mengapakah pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tidak meningkat semenjak tahun 1998?

1.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/983079/nilai-import-makanan-negara-naik-lebih-tinggi-tahun-ini

Lee Chean Chung
Pengarah Komunikasi KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up