Carian
September 30, 2022

BUBAR PARLIMEN SEMASA MUSIM BANJIR UMPAMA LANGKAH SHERATON SEMASA COVID-19

Nampaknya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersendirian dalam usahanya untuk memastikan Parlimen dibubarkan walaupun ketika musim banjir melanda.

Hal ini berdasarkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah menafikan hasrat UMNO mahu Parlimen dibubarkan semasa musim banjir.

Begitu juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut memberikan pendapat yang sama seperti Timbalan Presidennya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula meminta Parlimen dibubarkan pada Oktober walaupun ketika ini seluruh negara sedang menumpukan perhatian dan persiapan menghadapi bencana banjir.

Ternyata UMNO semakin gelisah dan mabuk untuk berpolitik tanpa memikirkan kebimbangan yang bakal dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang masih trauma.

Apa yang melucukan apabila para pemimpin UMNO berdalih pula dengan mengatakan bahawa Parlimen perlu dibubarkan sebelum musim banjir walaupun masing-masing mengakui tidak tahu bila bencana itu akan melanda.

Mohamad Hasan pula menyindir Pakatan Harapan (HARAPAN) kononnya mempunyai ilmu kasyaf yang mampu mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan.

Untuk pengetahuan Mohamad Hasan, ramalan cuaca dan risiko bencana banjir telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sejak 5 September lalu.

Kini, selepas hasrat untuk Parlimen dibubarkan semasa musim banjir ditolak oleh pemimpin UMNO sendiri, Zahid cuba mencipta naratif 'politik banjir' yang songsang dengan meletakkan kesalahan di atas bahu HARAPAN kononnya tidak prihatin dengan masalah rakyAat.

Berbeza dengan Zahid dan UMNO yang tidak hiraukan penderitaan dan trauma mangsa banjir yang kehilangan ahli keluarga dan kerugian harta benda, pemimpin HARAPAN di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang lebih awal telah membina rangkaian kerjasama antara kerajaan negeri bagi menghadapi risiko banjir pada bila-bila masa.

Pelbagai peruntukan termasuk program simulasi, bantuan kelengkapan jentera operasi dan pusat pemindahan sementara (PPS) telah disenaraikan untuk memastikan risiko bencana banjir dapat dihadapi dengan kadar yang minimum.

Ketika pihak lain sibuk memastikan kepentingan rakyat dan harta benda terpelihara, sikap UMNO yang terus mahu berpolitik amat dikesali dan perlu dibantah oleh seluruh rakyat Malaysia.

Begitu jugalah sikap UMNO semasa bersekongkol merencanakan Langkah Sheraton. UMNO dan PAS sanggup terlibat dengan pengkhianat HARAPAN untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat walaupun wabak COVID-19 sedang mengancam seluruh negara.

Sikap bongkak dan pentingkan kuasa daripada UMNO wajib dibantah dan keutamaan untuk melindungi nasib rakyat menghadapi bencana banjir perlu didahulukan.

SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengarah Biro Modal Insan PKR
Ahli Parlimen Ledang

Related Posts
crossmenuchevron-up