Carian
October 5, 2022

UMNO Tidak Berminat Membela Rakyat

Sekiranya UMNO dan BN ikhlas dan serius membantu, membela nasib dan kepentingan rakyat, sepatutnya ahli-ahli Parlimen mereka bersuara membantah Speaker Dewan Rakyat yang menolak usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Isnin lalu, Anwar telah membawa usul untuk membincangkan masalah ekonomi susulan kenaikan harga barang dan kejatuhan mata wang negara pada kedudukan yang sangat parah sekaligus memberi kesan kepada kehidupan rakyat serta negara.

Tindakan ini diambil apabila cadangan usul tersebut yang dikemukakan kepada Perdana Menteri tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Amatlah mendukacitakan apabila Presiden UMNO lebih mengutamakan langkah pembubaran Parlimen berbanding membantu rakyat yang berada dalam kesusahan.

Dalam kenyataan terkini, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembubaran Parlimen kononnya bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi menjaga kebajikan rakyat.

Walhal, UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini langsung tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan bagi membantu rakyat.

Kejatuhan mata wang pada paras yang parah menunjukkan kualiti pemimpin daripada UMNO baik sebagai perdana menteri dan juga menteri kewangan.

Apa yang diulas hanyalah memberi kenyataan kononnya situasi tidak akan bertambah buruk tanpa mengumumkan sebarang dasar dan langkah yang konkrit untuk memulihkan ekonomi negara. 

Sebaliknya, perdana menteri sekarang hanya dijadikan seperti 'budak suruhan' kepada segerombolan pihak yang rakus mahu berkuasa.

Sudahlah tidak membantu rakyat, kini UMNO mahu menambah beban lagi dengan usaha membubarkan Parlimen tatkala beberapa tempat dalam negara sudah menunjukkan bencana banjir akan melanda.

UMNO tidak perlu memperalatkan situasi bencana demi meraih kepentingan sempit parti mereka. Sewajarnya UMNO bermuhasabah dan insaf dengan penyelewengan yang dibuat semasa pernah menjadi kerajaan. 

Malangnya, UMNO parti yang tidak pernah insaf dan rakyat perlu bangkit dan menghukum mereka.

CHANG LIH KANG

Ahli Parlimen Tanjong Malim

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up