Carian
June 17, 2021

Menjunjung Kasih Ke Atas Titah KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG Dan RAJA-RAJA MELAYU

Saya mewakili Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih atas segala titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan juga titah Raja-Raja Melayu terhadap persoalan semasa dalam negara, khususnya dalam usaha menangani COVID-19 di Malaysia pada saat ini. Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu melambangkan keprihatinan dan kepedulian Baginda-Baginda Tuanku terhadap nyawa dan kehidupan rakyat, adalah amat dihargai dan dinanti-nantikan. Ini jelas menunjukkan Baginda-Baginda Tuanku tidak pernah terpisah daripada realiti serta keluh-kesah rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya juga sangat mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam mempertahankan keluhuran sistem demokrasi berperlembagaan dalam negara kita agar proses semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman dapat dilaksanakan secara berterusan.

Justeru saya percaya titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Raja Melayu agar Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri segera bersidang adalah selaras dengan aspirasi rakyat agar usaha menangani COVID-19 dapat dinilai dan dibahas penambahbaikannya di samping memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, saya akan mengadakan satu perbincangan dengan Speaker Dewan Negeri Selangor bagi memulakan perancangan pelaksanaan titah tersebut sesegera mungkin, selanjutnya mempersembahkan hasil perbincangan ini kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj untuk perkenan Baginda bagi tujuan melaksanakan persidangan Dewan Negeri Selangor secepat mungkin.
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor

Related Posts
crossmenuchevron-up