Carian
June 22, 2021

Pelantikan Politik Di KPT Bakal Memusnahkan Kredibiliti Dan Wibawa IPTA

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil maklum kenyataan YB Nik Nazmi mengenai pelantikan 13 wakil-wakil politik PN di IPTA yang telah dilaporkan oleh Malaysiakini bertarikh 19 Jun 2021.

Menerusi tinjauan JKPPH, sebenarnya terdapat lebih dari 13 lantikan politik di IPT dan KPT dari kalangan ahli politik Perikatan Nasional (PN). Di sesetengah IPTA, kebanyakan jawatan di dalam Lembaga Pengarah Universiti (LPU) diisikan oleh wakil-wakil UMNO tanpa kelayakan yang sepatutnya. Pelantikan yang sama juga berlaku di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Pengagihan jawatan di IPTA kepada wakil-wakil politik PN tanpa berdasarkan merit hanya akan menyebabkan imej dan wibawa IPTA semakin buruk samada di peringkat lokal mahupun antarabangsa. Situasi ini juga menjawab mengapa pihak KPT tidak bersikap progresif dan inovatif di dalam pembangunan solusi di peringkat pendidikan tinggi di kala menghadapi wabak Covid-19, dan keadaan pengurusan IPTA menjadi serba caca merba.

JKPPH juga berasa hairan mengapakah pelantikan di LPU IPT dari kalangan tokoh-tokoh akademik, korporat, profesional dan mereka yang telah berjaya di persada antarabangsa seperti di zaman PH dahulu tidak diteruskan. Malah ramai tokoh-tokoh akademik dan korporat yang tidak berparti dan apolitikal yang dilantik di zaman PH telah digantikan dengan wakil-wakil dari ahli politik PN terutamanya dari UMNO yang terlalu jauh rendah kelayakan mereka berbanding tokoh-tokoh yang telah dibuang oleh YB Menteri.

KPT patut merujuk kepada buku Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan keperluan melantik ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mengikut kebolehan dan ‘skill-sets’ yang telah ditetapkan supaya mereka boleh memacu IPTA lebih berdaya maju.

Pelantikan berdasarkan keahlian politik semata-mata boleh menganggu kemajuan universiti seperti yang berlaku sepanjang pemerintahan PN.

JKPPH mendesak agar KPT menyemak semula pelantikan wakil-wakil parti politik UMNO, PAS dan BERSATU di IPTA dan agensi serta bahagian di KPT demi menjaga kredibiliti dan nama baik pendidikan negara. Sepatutnya di kala wabak melanda, KPT menyikapi isu pendidikan tinggi dengan serius seperti di negara-negara maju dan bukannya bermain politik dan mengagihkan habuan sesama ahli politik.

MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI

Anggota Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan:-

YB Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam)
YB Teo Nie Ching (Kulai, DAP)
YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa, KEADILAN)
YB Datuk Dr Hasan Baharom (Tampin, AMANAH)
YB Natrah binti Ismail (Sekijang, KEADILAN)
YB Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam DAP)
YB Rusnah Aluai (Tangga Batu, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up