Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil maklum kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa Parlimen akan bersidang bermula 26 Julai selama lima hari bagi Dewan Rakyat, dan bermula 3 Ogos selama tiga hari bagi Dewan Negara.
Setelah diberi peringatan tiga kali oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, serta tekanan parti-parti politik malah juga rakyat Malaysia, akhirnya Perdana Menteri akur dan menjunjung titah Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen.
Walau bagaimanapun, Majlis Presiden berpandangan bahawa sidang khas tersebut adalah terlalu pendek untuk benar-benar membahaskan perkara-perkara yang telah dititikberatkan Seri Paduka Baginda, iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara.
Malah kami amat kesal Kerajaan Perikatan Nasional hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara COVID-19 tanpa sebarang perbahasan, dan Proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan. Ini langsung tidak menepati titah pandangan Seri Paduka Baginda.
Sekiranya Kerajaan PN masih engkar titah pandangan Seri Paduka Baginda, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai “melepaskan batok di tangga.”
Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat disamping mencari penyelesaian kepada krisis negara. Prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua Ahli Parlimen, dan Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah Menteri tanpa diberi ruang membahas.
Oleh itu, Kerajaan perlu menjemput pihak Pembangkang untuk bersama-sama merangka serta mengatur perjalanan sidang khas Parlimen ini, yang mesti mengusahakan penyelesaian agar rakyat Malaysia dapat keluar dari krisis COVID-19 dan ekonomi ini. Janganlah sehingga pihak Pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil. Kita mesti bersama memerangi COVID-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan.
Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)