Carian
August 6, 2021

Henti Peralat Agensi Sebagai Talian Hayat Politik

Majlis Presiden Pakatan Harapan sangat risau akan trend yang berlaku di mana agensi-agensi Kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperalat bagi menekan dan mengugut Ahli-Ahli Parlimen yang tidak menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.

Seperti yang telah diperlakukan kepada YB Lim Guan Eng serta YB Syed Saddiq melalui SPRM serta pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara atas tuduhan rasuah yang tidak berasas, kini seluruh negara menyaksikan bagaimana siasatan PDRM terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang ingin ke Parlimen pada Isnin lalu dipercepat.

Kami difahamkan usaha untuk menekan dan mengugut Ahli-Ahli Parlimen berterusan malah dipertingkat untuk menjadi talian hayat politik seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan dan telah hilang sokongan majoriti.

Pada masa yang sama, umum sedia maklum tiada sebarang tindakan atau siasatan yang diteruskan oleh SPRM atau LHDN terhadap mereka yang telah khianat, menyeberang dan menyokong Tan Sri Mahiaddin.

Oleh itu, kami menegaskan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan wajib bersifat profesional, neutral dan tidak mengikut selera politik pemerintah sekarang.

Jangan terlanjur dalam keadaan nakhoda sedang hanyut.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up