Carian
August 9, 2021

PH: Keistimewaan 'Pas Hijau' Perlu Dilaksanakan Berhati-hati

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan ingin mengingatkan Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat supaya lebih berhati-hati dalam memberi kelonggaran pergerakan dan keistimewaan tambahan yang terlalu awal kepada individu yang lengkap dos suntikan vaksin terutamanya ketika liputan vaksin masih rendah dan tidak sekata diantara negeri.

Kami mendesak kerajaan supaya melaksanakan kelonggaran dengan cermat, secara beransur bukan secara mendadak, dan dengan penuh kasih sayang bukan secara paksaan. Pelan kelonggaran haruslah berdasarkan fakta dan bukti dari kesilapan lepas.

Keputusan yang dibuat secara terburu-buru boleh mengakibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 dikalangan masyarakat dan akan lebih membebankan sistem kesihatan awam.
Adalah tidak wajar untuk memperkenalkan sesuatu yang tidak boleh dijangka terutamanya tatkala sistem kesihatan diseluruh negara masih bergelut dengan pelbagai kekangan.

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan mencadangkan supaya parameter-parameter yang tersenarai dibawah ini haruslah dicapai sebelum sebarang perancangan berkenaan keistimewaan atau penamatan kawalan pergerakan dipertimbangkan:

(1) Liputan vaksinasi sesuatu kawasan hendaklah sekurang-kurangnya 60%.

(2) Semua kumpulan yang berisiko tinggi terutamanya wargames dan mereka yang ber komorbiditas telah menjalani suntikan veksin dua dos yang lengkap.

(3) Kapasiti sistem Penjagaan Kesihatan sesuatu kawasan tidak melebihi 70% dan haruslah diperkasakan untuk menangani sebarang kesulitan.

(4) Mewujudkan Strategi Pelan Ujian Nasional yang komprehensif yang merangkumi “Kenal Pasti, Ujian, Kesan, Kuarantin, Sokongan” (FTTIS) dalam mengawal jangkitan dalam masyarakat. Strategi tersebut haruslah memperjelaskan SOP individu yang akan diuji, bila ujian akan diadakan, kekerapan ujian dan apa yang akan terjadi setelah ujian dijalankan untuk setiap industri dan sector.

(5) Kadar kejadian hendaklah tidak kurang daripada 250 setiap 100,000 kes aktif

Hanya apabila parameter-parameter ini telah dicapai, barulah kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi keistimewaan atau “Pas Hijau” kepada semua yang berstatus telah lengkap dua dos vaksin.

Walaubagaimanapun, pihak kami mencadangkan keistimewaan atau kelonggaran pergerakan cuma diberi dalam lingkungan “dalam negeri yang sama, dalam ekonomi yang sama” dahulu. Kelonggaran sepenuhnya hanya dibolehkan setelah liputan vaksinasi dan parameter-parameter lain dicapai di kesemua Negeri.

Dalam pada itu, kami mencadangkan hanya penduduk sebuah negeri dengan kadar jangkitan yang kurang dari 250 per 100,000 kes aktif sahaja yang dibenar perjalanan merentas dalam negeri. Buat masa ini, hanya Labuan, Perlis dan Sarawak yang dibolehkan.
PEMBUKAAN SELAMAT’ – IMBANGAN NYAWA DAN KEHIDUPAN

Apabila parameter tersebut dan status vaksinasi dicapai, keistimewaan yang diberi dapat membantu pembukaan negara secara selamat dan lestari. Ini adalah melalui prinsip penjagaan dan pengawasan, pertanggungjawaban dalam memelihara keseimbangan antara nyawa dan kehidupan, pengawalan pengukuhan ekonomi dan kesihatan fizikal serta mental masyarakat haruslah ditekankan.

Peranjakan strategi haruslah dari #dudukdirumah kepada #jagakeselamatan.

Keistimewaan untuk individu yang lengkap vaksin boleh merangkumi sfera berbeza dalam kehidupan seharian mahupun aktiviti keagamaan. Ini termasuk solat Jumaat, gelembung penziarahan keluarga, kenduri kahwin, acara pengkebumian, makan dalam kedai, hal-hal peruncitan, sukan kontak dan juga aktiviti masa lapang.

Semua fasiliti sukan rekreasi luar seperti taman awam, tapak permainan, kolam renang, zoo, taman tema dan sebagainya boleh dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50%. Orang awam haruslah dibenarkan untuk mengunjungi fasiliti-fasiliti ruangan terbuka ini.

Keistimewaan-keistimewaan ini akan membolehkan ekonomi berfungsi secara normal untuk masyarakat yang telah lengkap dos vaksin. Industri yang berpotensi berisiko tinggi seperti gimnasium, panggung wayang, pasar malam dan siang boleh beroperasi semula dengan SOP yang wajar. Semua pekerja yang terlibat dalam pengoperasian kawasan-kawasan ini juga mestilah lengkap divaksin.

Kilang dan tempat kerja boleh berfungsi ke tahap hampir penuh sekiranya telah mencapai kadar vaksin lengkap sebanyak 80% dengan mengadakan ujian saringan yang konsisten pada setiap minggu.

Namun begitu, Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan ingin mengingatkan, SOP yang sewajarnya dan langkah-langkah kesihatan awam termasuk amalan pemakaian pelitup muka, pengamalan penjarakkan fizikal dan kebersihan tangan harus diteruskan terutamanya apabila varian sekarang adalah lebih mudah disebarkan dan berjangkit, walaupun telah mendapat keistimewaan atau “Pas Hijau”.

Kami juga mencadangkan supaya pihak kerajaan membuat pengumuman awam dahulu berkenaan pelan dam keistimewaan yang akan diberi. Implementasi hanya dijalankan apabila semua parameter telah dicapai. Ini membolehkan masyarakat membuat penyesuaian dan peralihan kearah keperluan SOP yang sewajarnya. Ia juga dilihat akan memberi insentif kepada yang belum mendaftar untuk vaksin untuk mendaftar secepat mungkin.

Jawatankuasa Kesihatan ini juga mendesak pihak Kerajaan Persekutuan untuk terus meningkatkan proses vaksin dalam memberi liputan yang mencukupi untuk semua Negeri. Ini dilihat akan mempercepatkan penjanaan semula ekonomi dan peralihan kepada cara hidup kebiasaan baru bersama endemik Covid-19.
“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan :-
YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor, AMANAH)
YB Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng, KEADILAN)
YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi, DAP)
YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Ahli Parlimen Lumut, AMANAH)
YB Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching, DAP)
YB Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru, KEADILAN)
YB Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang, DAP)
YB Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kerajaan Negeri Selangor)
YB Dr Norlela Ariffin (EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
YB Veerapan Supramaniam (EXCO Kerajaan Negeri Sembilan)
YBhg Dr Niekmah Adam (Angkatan Wanita Amanah Negara, AMANAH)
YBhg Dr Zaliha Mustafa (Majlis Pimpinan Pusat, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up